Selain daripada kek dan puding, ramai yang gemar menyediakan agar-agar sebagai pencuci mulut di rumah. Pilihan utama pastinya Agar-Agar Gula Merah.
Dulu, pengalaman terbaik apabila dapat menghadiri kenduri bersama keluarga. Tambah pula jika terlihat Agar-Agar Gula Merah di atas meja, memang tidak mahu lepaskan peluang untuk menikmatinya.
Meskipun proses penyediaannya sangat ringkas, tiada seorang pun yang dapat menafikan keenakannya. Ringkasnya, ini adalah pencuci mulut tradisional yang masih relevan sehingga ke hari ini.
Untuk menghasilkan Agar-Agar Gula Merah yang kelihatan menarik dan sempurna, anda boleh mengikuti resipi yang dikongsi oleh Nur Amira Manan di Facebook. Mari kita cuba!
Baca juga: Wanita Berkongsi Resipi Agar Agar Kelapa Selasih, Cantik Seperti Kolam Ikan!
RESIPI AGAR-AGAR GULA MERAH
Bahan-bahan:
- 1 cawan santan
- 1 biji telur
- Esen vanila
- 2½ cawan gula nisan atau gula merah
- 2½ cawan air
- 1 helai daun pandan
- 1 paket agar-agar serbuk 10g
- Secubit garam
Cara-cara penyediaan:
1. Pertama sekali, masukkan santan, telur, dan esen vanilla ke dalam bekas.
2. Selepas itu, kacau hingga semuanya sebati dan tapiskan.
3. Kemudian, panaskan periuk dan larutkan gula nisan atau gula merah dalam air sehingga gula sepenuhnya cair.
4. Seterusnya, tambahkan garam dan serbuk agar-agar, kemudian kacau.
5. Selepas itu, tuangkan adunan telur tadi tanpa mengacau dan biarkan bentuk lumut terbentuk.
6. Tunggu sehingga telur kelihatan seperti lumut, kemudian kacau dengan lembut dan matikan api.
7. Akhir sekali, tuang adunan ke dalam loyang dan dinginkan dalam peti ais selama beberapa jam sebelum dipotong. Siap untuk dinikmati!
Anda boleh menggunakan resipi ini untuk memperbanyakkan pilihan hidangan pencuci mulut di rumah dengan substitusi gula merah kepada bahan-bahan lain seperti air pandan, keladi, laici, dan pelbagai lagi.
Kombinasi rasa lembut dan manis pada Agar-Agar Gula Merah menjadikannya sangat menyelerakan apabila dinikmati sejuk, dan memberi kesegaran di tekak.
Selamat mencuba!
Sumber: Nur Amira Manan
Baca juga: Agar Agar Santan Pandan, Ini Petua Untuk Mencegah Kepala Santan Pecah Lemak