Selain daripada karipap dan donat, Kuih Keria juga sering dipasarkan dan mendapat sambutan yang tinggi. Sebenarnya, terdapat rahsia dalam resipi Kuih Keria yang menjadikan ia gebu dan montok.
Dengan hanya menghaluskan keledek dan mencampurkannya dengan tepung gandum, seterusnya menggoreng dan menyiranya dengan gula, anda dapat menghasilkan Kuih Keria yang sungguh enak untuk dinikmati.
Jika ingin mendapatkan hasil yang lebih gebu dan montok, ikuti langkah demi langkah dalam resipi Kuih Keria yang dikongsikan oleh Hamizah Yatim di Facebook ini. Ayuh, kita cuba!
Baca juga: Resepi Kuih Keria Keledek Ungu, Tak Sangka Lebih Sedap Dan Lembut!
RESEPI KUIH KERIA SEDAP
Bahan-bahan untuk kuih keria:
- 1½kg keledek oren
- 2 cawan tepung gandum
- ½ cawan tepung beras
- Sedikit garam
- Minyak masak
Bahan-bahan untuk air gula sira:
- 9 sudu makan gula
- 9 sudu air
Cara-cara untuk membuat:
1. Pertama sekali, kupas dan rebus keledek oren sehingga lembut bersama sedikit garam.
2. Setelah keledek oren lembut, tos dan letakkan dalam besen, kemudian terus lenyek selagi masih panas.
3. Sebaik sahaja itu, ketepikan dan biarkan sejuk dahulu.
4. Apabila sudah sejuk, tuang tepung gandum dan tepung beras ke dalam besen yang mengandungi keledek oren tadi, kemudian gaul sehingga semuanya bercampur dengan baik.
5. Seterusnya, lumurkan tangan dengan sedikit minyak bagi mengelakkan adunan daripada melekat, dan timbang adunan seberat 40 gram.
6. Seterusnya, bentuk bulat dan tekan pada bahagian tengah untuk membuat lubang (ini disebabkan hasil keria kelihatan montok, kerana tidak diratakan).
7. Setelah itu, panaskan minyak dan masukkan keria, kemudian goreng dengan api sederhana sehingga agak garing, lalu angkat dan toskan. Siap!
Cara-cara untuk membuat air gula sira:
1. Pertama, masak gula bersama air sehingga ia menjadi sedikit likat.
2. Kemudian, masukkan keria yang telah digoreng tadi.
3. Akhir sekali, gaul sebati sehingga gula melapisi keria dengan baik. Siap untuk dinikmati!
Anda boleh mengubah resipi Kuih Keria sedap ini dengan menggantikan keledek oren kepada kentang juga. Jika dihidangkan bersama teh O panas, rasanya lebih nikmat.
Selamat mencuba!
Sumber: Hamizah Yatim
Baca juga: Resepi Keria Ball, Guna Ubi Keledek Jenis ‘Ini’ Baru Tak Terlembik!