Jika anda bercadang untuk menikmati hidangan berkuah yang lezat dan menyegarkan, jangan ragu untuk mencuba membuat Ikan Merah Masak Sup yang paling ringkas di rumah anda.
Ikan Merah Masak Sup adalah sajian sup yang dihasilkan daripada ikan merah yang sering dimasak menggunakan bawang merah, bawang putih, halia, serai, daun limau purut, dan air.
Hidangan ini cukup terkenal untuk merawat masalah dalaman dan membantu pemulihan badan sejurus selepas bersalin. Mudah dikatakan, ini adalah lauk terbaik untuk wanita dalam pantang.
Namun, anda juga boleh menyediakannya sebagai hidangan di rumah dengan resipi yang dikongsikan oleh Ainn Mus di Facebook. Jom kita cuba!
Baca juga: Ikan Bawal Masak Sos Tiram Lada Hitam, Sedapnya Seperti Masa Mak Masak
RESIPI IKAN MERAH MASAK SUP
Bahan-bahan:
- Ikan merah
- Bawang merah
- Bawang putih
- Halia
- 1 sudu rempah sup
- Sebatang serai
- Akar ketumbar
- Sup bunjut
- Garam
- Tomato
- Batang saderi
- Minyak zaitun
- Daun sup atau daun ketumbar atau daun bawang
- Asam keping atau asam limau
Cara-cara memasak:
1. Pertama, panaskan minyak zaitun dan tumis bawang merah, bawang putih serta halia (yang telah dihiris atau ditumbuk) sehingga keperangan.
2. Selepas itu, tambahkan 1 sudu rempah sup dan tumis seketika.
3. Seterusnya, masukkan serai (dihimpit), akar ketumbar, dan sup bunjut, kemudian tambahkan air.
4. Setelah kuah mendidih, masukkan ikan merah dan masak sebentar.
5. Apabila ikan hampir masak, tambahkan garam secukup rasa, tomato dan batang saderi.
6. Untuk penyudah, hias dengan daun sup, daun ketumbar, atau daun bawang mengikut citarasa. Jika anda menyukai rasa masam, tambahkan asam keping atau asam limau. Hidangan telah siap untuk dinikmati!
Penting diingatkan agar tidak mengacau terlalu kerap ketika memasak untuk mengelakkan isi ikan hancur di dalam kuah.
Ada yang berpendapat bahawa ikan merah paling lazat apabila dijadikan sup. Jika anda mencuba resipi Ikan Merah Masak Sup ini di rumah, kami percaya ia akan mendapat pujian tentang rasa hidangannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Ainn Mus
Baca juga: Ikan Masak Asam Paling Mudah Dalam 5 Langkah, Hirup Kuahnya Rasa Nikmat!