Pulut Inti Kelapa Manis ialah sejenis kuih tradisional yang dibuat daripada pulut serta santan yang dikukus, kemudian dihidangkan beserta kelapa parut yang dimasak dengan nisan.
Kuih ini lazimnya disajikan dalam pembalut daun pisang berbentuk piramid. Apabila dibuka, anda akan menikmati wangi aroma pulut bercampur dengan harum daun pisang yang menyegarkan.
AarillShah WG telah berkongsi cara untuk menghasilkan Pulut Inti Kelapa Manis di Facebook dan ia kelihatan amat menggugah selera. Mari kita cuba!
Baca juga: Cara Memasak Pulut Kuning Tanpa Daku, Lebih Mudah Hanya Menggunakan Periuk Nasi!
RESIPI PULUT INTI KELAPA MANIS
Bahan-bahan untuk inti kelapa:
- ½ biji kelapa parut
- 3 keping gula melaka (3 kerek)
- 1 sudu makan gula putih
- 2 sudu makan tepung gandum
- 2 helai daun pandan (disimpul)
- ½ cawan air
- ½ sudu teh garam
Cara-cara menyediakan inti kelapa:
1. Dalam kuali, gabungkan gula melaka, gula putih, daun pandan, garam dan air.
2. Masak sampai semuanya larut menggunakan api sederhana, kemudian tambahkan kelapa parut beserta tepung gandum.
3. Kacau rata dan masak hingga sedikit kering tetapi tetap lembab, barulah inti akan lebih enak. Ketepikan seketika.
Bahan-bahan untuk pulut:
- 4 cawan beras pulut
- 3 cawan santan sederhana pekat (2 kotak santan dicampur air sehingga mencukupi 3 cawan)
- ½ sudu teh garam
- 2 helai daun pandan (disimpul)
Bahan tambahkan:
- Daun pisang (dilayur secukupnya)
Cara-cara menyediakan pulut inti kelapa manis:
1. Rendam beras pulut terlebih dahulu selama minimum 1 jam 30 minit (saya lebih suka menggunakan beras pulut susu). Setelah siap direndam, basuh dan toskan.
2. Didihkan air dalam pengukus. Tuang beras pulut dalam loyang. Masukkan santan, garam dan daun pandan.
3. Kukus pulut selama 15 minit, kacau untuk meratakannya, kemudian sambung kukus selama 10 minit lagi. Setelah selesai, sejukkan terlebih dahulu pulut tersebut.
4. Ambil daun pisang yang sudah dilayur mengikut saiz yang dikehendaki, letakkan pulut di atasnya.
5. Tambahkan satu sudu makan inti kelapa di atas pulut dan bungkus seperti nasi lemak. Siap untuk dinikmati!
Sesudah mencuba resepi ini, anda pasti berasa puas kerana dapat menikmati Pulut Inti Kelapa Manis yang sangat sedap dan lemak berkrim.
Selamat mencuba!
Sumber: AarillShah WG
Baca juga: Kuih Pulut Sekaya ‘Lejen’, Resipi Tradisional Ini Penuh Dengan Petua Untuk Kelembutan Maksimum