Ramai yang gemar menghidangkan Agar Agar Santan Pandan kerana pencuci mulut ini sedap dinikmati dalam keadaan sejuk. Selain itu, penyediaannya juga sangat mudah dan bahan-bahannya tidak banyak.
Agar Agar Santan adalah sejenis hidangan pencuci mulut tradisional yang dihasilkan daripada agar-agar dan santan. Senang cerita, ini adalah pencuci mulut klasik yang paling terkenal.
Pencuci mulut ini boleh dibuat dalam pelbagai pilihan dan salah satunya ialah Agar Agar Santan Pandan yang benar-benar enak dan sesuai dengan selera masyarakat Malaysia.
Orang-orang terdahulu memanggilnya Agar Agar Lumut, tetapi kesedapannya tetap tidak berubah. Apabila dinikmati, mulut terus terasa segar dan kepenatan akan hilang.
Masni Bahari telah berkongsi resepi Agar Agar Santan Pandan di Facebook dan hasilnya sangat mengagumkan. Ternyata, terdapat petua supaya hasilnya tidak pecah dan sempurna. Jom kita cuba!
Baca juga: Agar Agar Santan Gula Melaka, Resipi Tanpa Telur Ini Lebih Menggoda Selera!
RESIPI AGAR AGAR SANTAN PANDAN
- 10g agar-agar
- 3 cawan santan pekat
- 1 cawan air pandan
- 2 cawan air
- ½ cawan gula (jika mahu lebih manis, boleh tambah)
- Sedikit garam
- Sedikit pewarna hijau
Cara penyediaan:
1. Pertama sekali, didihkan agar-agar dengan 2 cawan air sehingga hancur.
2. Setelah hancur, masukkan gula, air pandan, santan dan garam.
3. Untuk memastikan kepala santan tidak pecah lemak, kacau secara berterusan dengan api perlahan hingga mendidih (jangan tinggalkan sekejap pun).
4. Setelah mendidih, matikan api, tapis, dan tuang ke dalam acuan.
5. Akhir sekali, biarkan dalam peti ais selama beberapa jam sebelum dipotong. Siap untuk dinikmati!
Kami percaya anda akan terpesona dengan hasilnya yang bukan sahaja berbentuk cantik dan sempurna, tetapi juga mempunyai tekstur lembut yang penuh rasa manis dan lazat ketika dimakan.
Agar Agar Santan amat sesuai dijadikan pencuci mulut ringan untuk jamuan. Di samping itu, ia juga merupakan pilihan hidangan yang terbaik untuk tetamu.
Selamat mencuba!
Sumber: Masni Bahari
Baca juga: Agar Agar Bandung Dengan 5 Bahan, Nikmati Sejuk-Sejuk dan Rasai Kenikmatan Sebenarnya