Siapa yang tidak mengenali Biskut Almond London, kuih yang menjadi pilihan utama ketika Hari Raya? Lebih menarik, cara penyediaannya sangat mudah dengan menggunakan sukatan cawan.
Biskut Almond London adalah biskut yang memiliki badam rangup di bahagian tengah dan disalut dengan coklat leleh yang manis. Hanya dengan satu suapan, nikmatnya sudah terasa.
Erma Azizie telah berkongsi cara untuk membuat Biskut Almond London di Facebook, yang sangat mudah dan sesuai untuk pemula. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Semperit Klasik Seperti Raya Dulu-Dulu, Setiap Gigitan Menggamit Nostalgia
RESIPI BISKUT ALMOND LONDON SUKATAN CAWAN
Bahan-bahan:
- 1 buku mentega (250 gram)
- 1 cawan gula halus
- 2 cawan tepung gandum
- 1 cawan tepung beras
- 1 cawan tepung jagung
- ½ cawan badam kisar (saya gunakan badam nibs, bakar hingga perang, sejukkan dan kisar, boleh juga menggunakan serbuk badam)
- 1 sudu teh emplex
- 150 biji badam (bakar selama 10 minit)
- Kup hitam
- Coklat masakan
- Pencair coklat (butter cocoa, teksturnya seperti lilin)
Bahan hiasan:
- Badam cincang
- Coklat urai
- Gula manik
Cara-cara membuat:
1. Pertama sekali, pukul mentega dan gula dengan senduk kayu hingga semua bahan bercampur rata.
2. Kemudian, tambahkan tepung jagung, tepung beras, tepung gandum, emplex, dan badam kisar, dan uli hingga menjadi doh.
3. Seterusnya, gentelkan menjadi bola kecil-kecil dan letakkan badam di tengahnya.
4. Bakar pada suhu 160°C selama 15 minit mengikut jenis oven yang digunakan.
5. Sementara itu, cairkan coklat menggunakan kaedah double boil dan campurkan sedikit pencair coklat.
6. Setelah biskut yang dibakar telah sejuk, celupkan ke dalam coklat (elakkan memasukkan terlalu banyak kerana coklat cepat membeku).
7. Masukkan ke dalam kup dan hias dengan gula manik atau gula urai.
8. Akhir sekali, simpan biskut dalam peti sejuk sebentar agar coklat mengeras dengan cepat. Setelah itu, boleh disimpan dalam balang. Siap untuk dinikmati!
Semasa menghasilkan Biskut Almond London ini, pencair coklat digunakan agar setelah mengeras, permukaan coklat kelihatan lebih licin dan menarik.
Kami syorkan penggunaan kup berwarna hitam supaya ia tidak kelihatan kotor. Di samping itu, ia juga memberi rupa kuih raya premium yang akan menarik perhatian tetamu untuk mencuba.
Selamat mencuba!
Sumber: Erma Azizie
Baca juga: Resepi Biskut Sarang Semut Sukatan Cawan, Rangup Dan Cair Di Mulut!