Hari ini, MyResipi ingin berkongsi cara penyediaan mihun goreng telur cincang yang sangat mudah, cepat dan mengenyangkan. Rasanya memang luar biasa walaupun menggunakan bahan yang sederhana!
Bahan-bahan yang diperlukan terdiri daripada bahan asas yang kebiasaannya sudah ada di dapur. Anda tidak perlukan bahan mahal atau lauk yang rumit, hidangan ringkas seperti ini sudah cukup untuk membangkitkan selera.
Resipi yang dikongsi oleh Encik Khairul Hakimin Muhammad ini juga sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia masakan, kerana langkah-langkah penyediaannya mudah difahami dan senang diikuti. Ayo cuba!
Baca juga: Resipi Mi Bandung Original Muar, Kuah Yang Pekat & Padu Memang Nikmat!
CARA BUAT MIHUN GORENG TELUR CINCANG
Bahan-bahan:
- 1 pek mihun
- Segenggam ikan bilis
- 5 biji bawang merah kecil
- 3 biji bawang putih
- 1 keping dada ayam
- Sedikit bebola ikan
- Sedikit kek ikan
- 1 senduk cili kering kisar
- 2 sudu besar sos tomato
- 2 sudu besar sos cili
- 3 sudu besar kicap manis
- 1 sudu besar garam
- 2 biji telur
Cara memasak:
- Rendam mihun dalam air biasa sahaja (tidak perlu air panas). Setelah lembut, toskan.
- Tumbuk bawang merah dan bawang putih bersama ikan bilis sehingga halus.
- Panaskan minyak dalam kuali, kemudian tumis bahan yang ditumbuk hingga garing.
- Setelah garing, masukkan cili kering kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
- Selepas itu, goreng telur dengan sedikit garam. Setelah masak, tutup api dan cincang halus.
- Setelah tumisan pecah minyak, masukkan dada ayam yang telah dipotong kecil bersama sedikit air.
- Kemudian masukkan bebola ikan dan kek ikan. Jika ada sawi atau sayur lain, boleh ditambah mengikut selera.
- Masukkan sos tomato, sos cili dan kicap manis, kacau rata.
- Tambahkan garam secukup rasa.
- Masukkan mihun dan gaul sebati dengan bahan-bahan tersebut.
- Akhir sekali, masukkan telur cincang dan gaul rata.
Sumber: Khairul Hakimin Muhammad
Baca juga: Jom Masak Kuetiau Thng Untuk Rumah Terbuka, Pasti Tetamu Puji Tak Henti!