Apabila menyebut tongkeng ayam, pasti ramai yang terbayang akan keenakan apabila digoreng rangup atau dimasak dengan sambal. Walaupun kecil, bahagian ini benar-benar penuh dengan rasa, berair dan sangat berprofil tinggi.
Hari ini MyResipi ingin berkongsi satu resipi mudah tetapi hebat iaitu Sambal Kering Tongkeng Ayam. Resipi ini amat sesuai untuk peminat hidangan pedas dan berlemak. Jika dinikmati dengan nasi putih yang panas, pasti anda boleh bertambah dua, tiga pinggan tanpa menyedarinya!
Menariknya, resipi ini tidak terhad kepada tongkeng ayam sahaja. Anda juga boleh menggunakan bahagian lain dari ayam atau ikan, bergantung kepada citarasa masing-masing. Cara memasaknya juga sangat mudah, tidak memerlukan banyak bahan dan tidak mengambil masa yang lama.
Baca juga: Resipi Sup Kaki Ayam Tanpa Tumis, ada ‘Petua’ untuk lebih sedap!
RESIPI SAMBAL KERING TONGKENG AYAM
Bahan-bahan:
- Tongkeng ayam (montot ayam)
- Segenggam cili kering
- 4 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 2 inci kunyit segar
- 2 sudu minyak masak
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Cuka atau asam keping
Cara memasak:
- Gaul bontot ayam dengan kunyit segar dan garam sehingga rata. Kemudian, goreng dalam sedikit minyak. (Jangan khuatir, semasa menggoreng nanti tongkeng akan mengeluarkan minyaknya sendiri.) Setelah masak, angkat dan ketepikan.
- Kisar cili kering, 2 biji bawang besar, bawang putih serta kunyit segar. Masukkan campuran ini ke dalam kuali dan tumis sehingga pecah minyak.
- Tambahkan gula, garam dan cuka secukup rasa. Seterusnya, masukkan 2 biji bawang besar yang dipotong tebal bersama bontot ayam tadi. Gaul sehingga semua tongkeng terbalut dengan sambal secara seimbang.
- Siap! Boleh terus angkat dan sajikan.
Nota: Resipi ini juga boleh diaplikasikan untuk bahagian lain dari ayam atau ikan. Selamat mencuba!
Sumber: Yasmin Dayanti Fami
Baca juga: Cara Rebus Kaki Ayam untuk Menghilangkan Bau Hanyir, Baru Penuhi Selera Makan!