Jika anda telah membaca resipi ayam masak merah yang kami sediakan, anda mesti mencuba resipi masak lemak kobis ini. Ia adalah hidangan berkuah santan yang kaya dan enak.
Resipi ini sangat ideal untuk hidangan tengah hari dan sering disantap bersama nasi panas serta ayam masak merah. Gabungan santan, kubis, lobak merah dan suun menjadikannya hidangan berkuah yang menggugah selera.
Jom kita lihat cara penyediaan hidangan ini yang dikongsikan oleh Cik Puan Noor Ashikin Saerah.
Baca lagi: Tips Kurangkan Percikan Minyak Semasa Masak Sambal, Tak Bersepah Jadinya!
RESIPI MASAK LEMAK KOBIS
Bahan-Bahan:
- 1 biji bawang besar (*dihaluskan)
- 1 sudu besar ikan bilis (*dihaluskan)
- 750 ml santan cair (percampuran 500 ml air dan 250 ml santan pekat)
- 1 batang lobak merah (dipotong bentuk stik kecil atau “baton”)
- 300 g kubis (dihiris kasar)
- 1 helai daun kunyit (pilihan, untuk memberi aroma)
- Sedikit suun (rendam dan tos dahulu)
- 2-3 keping fucuk (rendam dan tos dahulu)
- 1 biji cili merah (dihiris untuk hiasan)
Cara Penyediaan:
1. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar (bawang besar dan ikan bilis) bersama santan cair dan hirisan lobak merah dalam periuk.
2. Nyalakan api sederhana dan masak campuran ini sehingga mendidih. Kacau sentiasa untuk memastikan santan tidak terpisah minyak.
3. Setelah mendidih, tambahkan hirisan kubis dan daun kunyit (jika digunakan). Perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau rata dan biarkan kubis sedikit layu dalam kuah santan.
4. Masukkan suun dan fucuk yang telah direndam dan ditoskan. Tambah hirisan cili merah untuk menambah warna dan sedikit rasa pedas. Kacau rata dan biarkan selama 10-20 saat sahaja.
5. Setelah segalanya bercampur, tutup api dan biarkan suun masak sepenuhnya dengan haba kuah yang masih dalam periuk. Ini memastikan suun tidak terlalu lembik dan mengekalkan tekstur kenyal.
Tip Tambahan:
- Hindari daripada memasukkan suun terlalu banyak karena ia boleh menyerap kuah santan. Sebaiknya rendam dan tos suun terlebih dahulu sebelum dimasukkan pada langkah akhir.
- Jika menggunakan lebih banyak suun atau fucuk, tambahkan kuantiti santan supaya kuah tetap mencukupi.
Sumber: Noor Ashikin Saerah
Baca lagi: Pasta Goreng Tom Yam, Setiap Suapan Pasti Nak Makan Lagi!