Baik untuk sarapan maupun snek petang, karipap telah menjadi pilihan ramai sejak zaman silam. Kali ini, kami berbesar hati untuk kongsikan resipi Karipap Sardin yang rangup dan lazat.
Di Malaysia, karipap tergolong dalam salah satu kuih tradisional yang sangat diminati dan sering laris. Terdapat pelbagai jenis karipap seperti karipap berjerawat dan karipap pusing.
Jalilah JJ Homemade telah berkongsi resipi Karipap Sardin di Facebook yang menghasilkan kulitnya licin sampai ramai yang tertarik untuk mencubanya sendiri di rumah. Jom kita cuba!
Baca juga: Cara Buat Kulit Karipap Berjerawat Yang ‘Perfect’, Dah Sejuk Pun Tetap Rangup
RESIPI KARIPAP SARDIN
Ramuan untuk kulit karipap:
- 1kg tepung gandum pilihan baker
- ¾ cawan minyak masak
- 3 sudu butter blend atau marjerin
- 2 sudu teh garam halus
- 1½ cawan air (ikut kesesuaian kelembutan)
- Minyak masak (untuk menggoreng)
- 2 sudu besar shortening (untuk menggoreng)
- 1 sudu besar air kapur jernih
Ramuan untuk inti karipap:
- 2 tin sardin cap ayam mackerel
- 5 hingga 7 biji bawang besar atau bawang holland (dipotong dadu)
- 3 hingga 5 sudu cili kisar
- 3 hingga 4 biji bawang putih (dipotong dadu)
- 2 biji telur (tak wajib)
- 5 hingga 6 batang daun sup (dimayang)
- ¼ cawan air asam jawa pekat
- 1 sudu teh serbuk perasa
- Garam dan gula secukup rasa
- Sedikit minyak masak (untuk menumis)
Cara-cara untuk membuat inti karipap:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga mengeluarkan aroma.
2. Tambahkan cili kisar dan tumis lagi sampai garing.
3. Masukkan sedikit gula agar cili cepat garing.
4. Buang tulang ikan sardin dan asingkan kuahnya. Hancurkan sardin beserta kuahnya dan masukkan ke dalam cili kisar yang telah digoreng hingga garing, masak hingga kering.
5. Pecahkan telur, kacau segera dan masukkan daun sup. Kacau hingga rata dan angkat. Biarkan inti sejuk sebelum digunakan.
Cara-cara untuk membuat karipap:
1. Ayak tepung gandum dan buat lubang di tengah, ketepikan.
2. Panaskan minyak masak, biarkan panas sepenuhnya sebelum menambah butter.
3. Biarkan butter cair dan tuangkan pada tepung yang sudah diayak.
4. Kacau dengan senduk kayu, biarkan sejenak sebelum menguli dengan tangan hingga menjadi serbuk roti.
5. Larutkan garam, gula dan air kapur.
6. Tuangkan air perlahan-lahan dan uli hingga menjadi doh, kemudian perap selama ½ jam sebelum diisi dengan inti (saya masukkan inti dan kelim semula untuk mengelakkan dari terbuka)
7. Goreng dalam minyak yang banyak dan campurkan dengan shortening untuk memastikan karipap rangup, kemudian angkat dan toskan. Siap!
Dengan inti sardin yang pedas manis dan kulit karipap yang rangup, resipi Karipap Sardin ini bukan sahaja mudah dihasilkan, malah sangat sesuai untuk dinikmati seisi keluarga.
Selamat mencuba!
Sumber: Jalilah JJ Homemade
Baca juga: Resepi Karipap Pusing, Begini Cara Dapat Hasil Pusar Tak Merekah Dan Lebih Garing!