Siapa yang tidak suka kuih keria, terutamanya Keria Keledek Oren yang lembut dengan lapisan gula yang melimpahi. Sebenarnya, terdapat rahsia supaya hasilnya tetap tidak keras walaupun setelah sejuk.
Keledek oren memiliki rasa yang lebih manis, teksturnya lebih halus dan memberikan warna yang indah secara semula jadi. Oleh kerana itu, ramai yang gemar menggunakannya untuk membuat kuih.
Satu masalah yang sering dihadapi adalah keria menjadi keras, liat dan tidak enak dimakan setelah sejuk. Namun, jika anda mengikut resipi oleh Nana Ereena di Facebook ini, masalah itu dapat dielakkan.
Baca juga: Cara Buat Keria Lembut, Ada Tips Supaya Gula Melekat Lama Dan Tak Cair
RESIPI KERIA KELEDEK OREN
Bahan-bahan untuk kuih keria:
- 1kg keledek oren
- 1 cawan tepung gandum (anggaran, tambah jika perlu)
- 1 sudu teh garam halus
- 2 sudu minyak masak (digunakan semasa membentuk keria)
- Minyak secukupnya untuk menggoreng
Bahan-bahan untuk sira gula:
- 1½ senduk gula pasir
- 1 senduk besar air
Cara-cara membuat kuih keria:
1. Pertama, kupas kulit keledek dan potong dalam saiz kecil.
2. Selepas itu, rebus keledek bersama garam hingga empuk.
3. Setelah empuk, angkat dan toskan airnya, kemudian lecek keledek hingga halus semasa ia masih panas.
4. Biarkan suam seketika, kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga kuih dapat dibentuk menjadi gegelang kecil dan tidak terlalu lembik.
Tips penting sewaktu membentuk gegelang kuih keria:
- Gunakan minyak supaya bentuk gegelang kelihatan menarik dan kuih tidak keras.
- Hindari penggunaan tepung semasa membentuk kerana ini akan menyebabkan keria menjadi keras.
5. Goreng kuih keria dalam minyak yang sederhana panas sehingga berwarna kuning keemasan, kemudian angkat dan toskan.
6. Akhir sekali, biarkan sejuk sedikit sebelum disira dengan gula.
Cara-cara membuat sira gula:
1. Pertama, masak gula pasir dan air di atas api sederhana hingga berbuih.
2. Setelah berbuih, kurangkan api dan masukkan kuih keria tadi.
3. Kemudian, kacau hingga rata supaya gula melekat pada keseluruhan kuih.
4. Akhir sekali, matikan api setelah gula melitupi semua kuih keria. Siap!
Dengan cara dan tips yang tepat, Keria Keledek Oren anda bukan saja akan kekal lembut hingga ke petang, malah akan menjadi kesukaan semua orang.
Selamat mencuba!
Sumber: Nana Ereena
Baca juga: Resepi Kuih Keria Keledek Ungu, Tak Sangka Lebih Sedap Dan Lembut!