Hari ini kami ingin berkongsi dengan anda cara menyediakan cekodok pisang gula Melaka. Keistimewaan rasa manis gula Melaka ini memberikan sebuah keunikan, dan jika anda lebih menyukai rasa manis yang lebih sarat, boleh sesuaikan mengikut selera anda.
Dengan tekstur lembut dan sedikit garing di luar, ia pasti akan menjadi pilihan utama keluarga, terutamanya anak-anak.
Ayo cuba resipi cekodok pisang yang berbeza ini!
Baca lagi: Resipi Tomyam Goong Campur, Tak Sangka Kuah Padu Seperti Di Kedai!
RESIPI CEKODOK PISANG GULA MELAKA
Bahan-Bahan:
- Pisang merah – 3 biji (atau pisang biasa 7-8 biji)
- Gula Melaka – setengah hingga 3 suku ketul (mengikut cita rasa manis yang diinginkan)
- Air – secukupnya (untuk merebus gula Melaka)
- Garam – sedikit untuk menambah rasa lemak
- Telur – 1 biji
- Tepung gandum – 2 cawan
- Tepung beras – 3 sudu
- Soda bikarbonat – setengah sudu kecil
- Minyak masak – untuk menggoreng
Cara Penyediaan:
1. Ambil 3 biji pisang merah (atau 7-8 biji pisang biasa), dan lenyekkan pisang tersebut menggunakan garpu. Pastikan jangan terlalu halus.
2. Dalam waktu yang sama, didihkan air bersama gula Melaka. Untuk gula Melaka, anda boleh menggunakan setengah atau tiga suku ketul dari yang biasa dijual di kedai runcit.
3. Setelah gula Melaka cair sepenuhnya, tuangkan air tersebut ke dalam mangkuk pisang yang telah dilenyek.
4. Tambahkan sedikit garam ke dalam campuran pisang bagi meningkatkan rasa lemak. Pecahkan 1 biji telur dalam campuran pisang, dan gaul hingga rata.
5. Masukkan 2 cawan tepung gandum, 3 sudu tepung beras, dan ½ sudu kecil soda bikarbonat. Gaul rata sehingga adunan mengental dan sebati. Anda boleh menambah sedikit air jika adunan terlampau pekat, tetapi pastikan ia masih dalam konsistensi yang cukup tebal untuk digoreng.
6. Panaskan minyak dalam kuali, dan pastikan minyak cukup panas sebelum memasukkan adunan cekodok. Setelah minyak panas, kurangkan api agar cekodok dapat masak dengan sempurna tanpa terbakar.
7. Ambil adunan cekodok menggunakan tangan dan bentuk kecil bulat sebelum dimasukkan ke dalam minyak panas. Goreng cekodok hingga keemasan dan rangup di kedua-dua belah. Pastikan untuk membalikkan cekodok agar ia masak sekata.
8. Setelah cekodok pisang masak, angkat dan toskan minyaknya.
Cekodok pisang ini boleh dimakan begitu sahaja, biasanya dinikmati bersama teh O kosong suam. Memang enak dan sesuai untuk hidangan ringan di waktu petang.
Selamat mencuba!
Sumber: Syalfarina Razali
Baca lagi: Resipi Kari Ayam Padu Dari Biasa, Rupanya Kena Perap Dengan Bahan Rahsia