Resepi kek tiramisu tanpa memanggang ini bukan hanya mudah untuk disiapkan, tetapi setiap lapisan krim dan biskut memberikan rasa yang mendalam, berlemak dan sarat dengan aroma kopi.
Ramai beranggapan tiramisu sukar untuk disediakan, tetapi sebenarnya bahan-bahannya ringkas dan tidak memerlukan oven. Malah, ia boleh disesuaikan mengikut cita rasa peribadi.
Kek tiramisu ini amat sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut untuk pelbagai majlis atau dinikmati pada bila-bila masa. Teksturnya yang lembut dan rasa sejuk berkrim pasti akan membuatkan sesiapa sahaja ingin menikmatinya berulang kali.
Baca juga: Resipi Biskut Lady Fingers, Tak Perlu Susah Cari Sebab Sentiasa ‘Sold Out’
RESEPI KEK TIRAMISU MUDAH
Bahan-bahan:
- 90 gram gula kastor
- 250 gram krim keju (cream cheese)
- 200 ml krim putar (whipping cream)
- 200 gram keju mascarpone
- 1 sudu kecil esen vanila
- Serbuk koko (untuk taburan)
- Biskut ladyfingers secukupnya
- Campuran kopi/Nescafe + air panas
Cara-cara:
- Pukul gula kastor bersama krim keju hingga rata dan gebu. Ketepikan seketika.
- Dalam mangkuk yang berasingan, pukul krim putar hingga kembang dan pekat.
- Masukkan 200 gram keju mascarpone ke dalam adunan krim putar. Gaul hingga sebati.
- Tambahkan 1 sudu kecil esen vanila dan gaul sehingga rata.
- Masukkan adunan krim keju yang awal tadi ke dalam campuran mascarpone. Gaul rata atau pukul sekejap menggunakan pengadun. Jangan terlalu lama; cukup sekadar semua bahan bercampur elok.
Lapisan tiramisu:
- Bancuh kopi/Nescafe dengan air panas. Biarkan ia sejuk.
- Celupkan ladyfingers ke dalam bancuhan kopi seketika — jangan terlalu lama agar tidak hancur.
- Susun lapisan pertama ladyfingers dalam bekas.
- Tuangkan lapisan krim di atasnya.
- Ulang langkah: satu lapisan lagi biskut, kemudian lapisan krim sekali lagi.
- Di akhir, taburkan serbuk koko di bahagian atas.
- Simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 4-6 jam sebelum dinikmati; lebih sedap jika disimpan semalaman!
Sumber: Dea Noorfaizura
Baca juga: Resipi Puding Kastard Tiramisu, Makan Sejuk-Sejuk Pasti ‘Best’!