Jika anda sedang mencari resipi kulit karipap rangup, inilah resipi yang harus dicuba. Kulit karipap yang nipis, garing dan tahan rangup selama berjam-jam pasti menjadi pilihan ramai. Tidak kira untuk dinikmati sendiri atau dijadikan jualan.
Ramai beranggapan bahawa untuk menghasilkan kulit karipap yang enak, perlu mencampurkan pelbagai jenis tepung. Namun sebenarnya, anda hanya perlu menggunakan tepung gandum, tanpa perlu mencampur bahan lain. Hasilnya bukan sahaja mudah dibentuk, malah teksturnya rangup dan ringan ketika dimakan.
Dalam artikel ini, kami akan berkongsi langkah demi langkah cara membuat kulit karipap yang dijamin menjadi. Sesuai bagi mereka yang baru belajar untuk membuatnya sendiri di rumah atau ingin hasilkan dalam kuantiti yang banyak.
Baca juga: Tips Membuat Karipap Sardin Berjerawat & Rangup, Sekali Makan Tak Cukup Satu!
RESEPI KULIT KARIPAP RANGUP
Bahan-bahan kulit karipap:
- 1 kg tepung gandum*
- 2 sudu kecil garam*
- ½ cawan minyak masak
- 3 sudu besar marjerin
- 400 ml air
Tidak perlu mencampur tepung lain. Cukup menggunakan tepung gandum untuk mendapatkan hasil kulit karipap yang rangup, lembut ketika dicanai dan mudah dibentuk.
Cara-cara:
- Sediakan bekas tahan panas. Anda boleh terus menggunakan mangkuk besi pengadun jika tersedia.
- Gabungkan tepung gandum dan garam (bahan bertanda *), kemudian gaul rata.
- Panaskan minyak dan masukkan marjerin. Setelah marjerin cair, matikan api. Tuangkan campuran minyak dan marjerin panas ke dalam tepung tersebut. Gaul rata menggunakan senduk terlebih dahulu, jangan menggunakan tangan kerana masih panas. Teruskan menggaul hingga adunan menjadi seperti serbuk roti.
- Masukkan air secara beransur-ansur sehingga adunan menjadi doh yang lembut, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembik. Teksturnya lebih kurang seperti playdough. Jika terlalu lembik, nanti ketika menggoreng, ia cepat menyerap minyak dan kurang rangup.
- Biarkan doh berehat selama lebih kurang 30 minit. Selepas itu, boleh dibulatkan mengikut saiz yang diingini. Siap untuk diisi dengan inti pilihan.
Sumber: Nurul Sakina Azizi
Baca juga: Resipi Kulit Karipap Anti Melekat, Rupanya Perlu Campur 3 Jenis Tepung Ini