“Rahsia Menjimatkan Wang Semasa Perjalanan: Cara Kreatif Memasak Makanan Halal di Airbnb!”


cara jimat duit

Mahu tahu bagaimana untuk menghemat wang semasa melancong tetapi tetap menikmati makanan yang sedap dan halal? Gunakan trik ‘Airbnb Cooking’ ini! Ramai yang tidak menyedari bahawa memasak sendiri di tempat penginapan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan, terutamanya ketika mengunjungi negara di mana makanan halal sukar didapati atau harganya tinggi.

Bayangkan, selepas kepenatan bersiar-siar, anda dapat pulang ke penginapan dan memasak hidangan mengikut citarasa sendiri. Tanpa perlu bimbang tentang status halal, harga makanan yang melambung ataupun terpaksa menjamu selera dengan roti setiap hari.

Dengan sedikit persediaan sebelum bertolak, anda boleh mencipta menu ringkas tetapi memuaskan. Ingin tahu apa yang perlu dibawa dan cara untuk merancang strategi memasak semasa perjalanan? Mari baca artikel ini dengan lebih mendalam.

Baca juga: 10 Destinasi Bajet Dengan Pilihan Makanan Halal Yang Sedap & Murah, Jalan-Jalan Tanpa Risau!

CARA JIMAT WANG SEMASA MELANCONG DENGAN MEMASAK MAKANAN HALAL DI AIRBNB

cara jimat duit

1. Tempah Airbnb Dengan Dapur Lengkap

Sebelum membuat tempahan, pastikan anda memilih tempat penginapan yang dilengkapi dapur yang sempurna. Cari kediaman atau apartmen yang menyediakan peti sejuk, dapur gas atau elektrik, serta peralatan memasak asas seperti periuk, kuali, dan pisau. Dengan dapur yang lengkap, anda boleh menyediakan pelbagai hidangan mudah yang mengikut selera anda.

2. Bawa Sabun Sertu

Bawa sabun sertu (boleh diperoleh secara atas talian) untuk membersihkan peralatan dapur. Di negara bukan Islam, periuk, kuali, atau sudu yang ada mungkin pernah digunakan untuk memasak makanan yang tidak halal, seperti babi. Dengan sabun ini, anda boleh membersihkan dan menyucikan peralatan sebelum digunakan, agar lebih yakin dan bebas keraguan semasa memasak.

3. Bawa Periuk Multicooker

Ambil periuk multicooker semasa melancong untuk memudahkan proses memasak. Periuk ini boleh digunakan untuk memasak pelbagai jenis hidangan seperti nasi, sup, atau lauk lain. Periuk ini sangat sesuai untuk penginapan Airbnb yang mempunyai dapur kecil dan terhad. Jadi, anda dapat memasak banyak menu sekaligus.

4. Rancang Menu

Sebelum berangkat, buat perancangan menu yang mudah untuk disiapkan. Pilih resipi yang tidak memerlukan banyak bahan dan peralatan, seperti nasi goreng, sup sayur, atau sandwic. Ini akan memudahkan anda menyediakan makanan dengan cepat.

5. Bawa Bekalan Kering Dari Rumah

Jika anda bimbang sukar untuk mendapatkan bahan makanan halal di negara yang dituju, anda boleh membawa bekalan makanan kering dari rumah. Contohnya, rempah ratus, beras, mi segera, dan sebagainya.

6. Bawa Pes Segera

Lebih praktikal jika anda membawa sambal tumis kosong yang telah dimasak sebelum ini. Bungkus dengan rapi dan apabila tiba di destinasi, anda hanya perlu menambah telur rebus atau ikan bilis. Jika ditambah santan, ia boleh dijadikan masak lemak yang sedap.

7. Cari Pasar Raya Halal Terdekat

Salah satu kelebihan menggunakan Airbnb adalah, anda…

Bebas untuk menyediakan apa sahaja hidangan yang disukai. Sebelum berangkat, lakukan sedikit penyelidikan mengenai pasar raya halal di lokasi anda. Kini, banyak negara memiliki pasar raya atau kedai yang menawarkan bahan mentah halal seperti daging, ayam dan produk tenusu.

Jika tiada pasar raya halal, anda boleh mendapatkan makanan laut seperti udang, sotong, ketam dan lain-lain. Untuk bahan lain seperti biskut, roti dan seumpamanya, sila semak bahan-bahannya bagi mengelakkan bahan yang haram untuk dimakan.

8. Bawa Bekas Makanan Dari Malaysia

Di samping itu, jangan lupa untuk membawa bekas makanan. Ia sangat memudahkan sekiranya anda mahu menikmati makanan semasa berjalan. Di beberapa negara, sukar untuk mencari kedai makan halal. Jadi, dengan membawa bekalan, anda dapat memastikan perut sentiasa terisi.

REV Media Group melalui My Resipi, Sirap Limau dan VOCKET mempersembahkan Halal Travel, kempen yang dirancang khas untuk membantu pelancong Muslim di luar negara agar lebih tenang, selamat dan penuh keyakinan.

Ia merupakan inisiatif menyeluruh yang menyampaikan panduan makanan halal, waktu solat & arah kiblat, petua perjalanan & keselamatan serta aktiviti ‘halal-friendly’ yang menarik.

Layari www.myresipi.com/halaltravelmy untuk maklumat lanjut.

Sumber: Siakap Keli, Travel Treasure, Joe Fadz

Baca juga: Jangan Sentuh 5 Makanan Ni Kalau Nak Travel Bajet – Nampak Sedap Tapi Mahal & Tak Halal!



Source link

Scroll to Top