Antara pelbagai jenis pau, sudah pasti Pau Kampung menjadi pilihan ramai akibat teksturnya yang gebu dan lembut hingga ada yang mencari cara untuk menyediakannya.
Jika anda pernah membuat Pau Kampung namun seringkali kecut, anda boleh mencuba tip yang dikongsikan oleh Hidayah Kamis di Facebook ini agar hasil permukaannya licin. Mari kita berusaha bersama!
Baca juga: Resepi Pau Gebu Anti Kedut, Kukus Hanya Dalam 5 Minit Untuk Hasil Yang Sempurna!
RESIPI PAU KAMPUNG
Bahan-bahan:
- 2 sudu gula pasir
- 2 sudu susu pekat
- 1½ sudu yis
- ½ cawan air suam
- 3 cawan tepung gandum (saya menggunakan cap ros)
- 1 sudu KFC softener atau pelembut (boleh didapati di kedai bakeri)
Cara-cara penyediaan:
1. Pertama sekali, bancuhkan gula, susu pekat dan yis dalam air suam, selepas itu tutup dan biarkan selama 5 hingga 10 minit.
2. Menggunakan mangkuk lain, sediakan tepung dan softener. Setelah 5 hingga 10 minit, tuangkan bancuhan yis sedikit demi sedikit ke dalam mangkuk tepung.
3. Seterusnya, uli adunan sehingga menjadi doh (jika kurang, boleh tambah air). Doh akan lembut, dan pastikan jangan sampai terlebih tambah tepung, hanya sedikit demi sedikit sahaja.
4. Setelah doh terbentuk, segera timbang mengikut berat yang diinginkan (saya timbang doh 28 gram).
5. Setelah selesai menimbang semua doh, anda boleh masukkan inti (terpulang pada pilihan inti).
6. Setelah mengisi semua doh dengan inti pilihan anda, rehatkan pau selama 20 hingga 25 minit sebelum dikukus.
7. Kemudian, kukus pau selama 8 minit. Jangan lupa untuk memastikan air kukusan mendidih terlebih dahulu dan menggunakan api perlahan. Siap untuk dinikmati!
Jika anda ingin permukaan Pau Kampung yang licin, tipsnya adalah dengan menutup penutup kukus menggunakan kain supaya air wap tidak jatuh ke atas permukaan pau.
Pau Kampung sememangnya sedap dinikmati dan amat sesuai dijadikan snek petang. Ditambah pula dengan pelbagai inti yang lazat, pasti tidak akan menoleh kiri kanan!
Selamat mencuba!
Sumber: Hidayah Kamis
Baca juga: Tips Kukus Pau Agar Cantik Dan Tidak Kecut, Sesuai Untuk Pemula