Singgang Ikan Tongkol merupakan salah satu hidangan tradisional yang amat terkenal di pantai timur, lebih-lebih lagi di Terengganu dan Kelantan. Makanan ini mudah, berkuah jernih dan tidak menggunakan minyak atau santan. Rasa masam, pedas dan sedikit masin menjadikannya sangat menggoda, terutamanya apabila dinikmati dengan nasi panas.
Resipi ini sesuai untuk pelbagai peringkat umur dan amat ideal untuk mereka yang menjaga kesihatan kerana ia dimasak tanpa tumis dan tidak berlemak. Antara bahan utama dalam hidangan ini adalah ikan tongkol, bawang, lengkuas, asam keping dan cili. Kadang-kadang, orang menambah bendi atau budu untuk meningkatkan rasa.
Keistimewaan masakan singgang terletak pada cara penyediaannya yang mudah dan pantas. Anda hanya perlu memotong bahan, masukkan semuanya ke dalam periuk dan biarkan ia mendidih. Sangat sesuai untuk hari-hari yang sibuk atau jika anda inginkan lauk berkuah yang ringkas tetapi enak.
Baca juga: Cara Mengurangkan Rasa Masin Pada Ikan Kering, Ada 3 Petua Berkesan Yang Perlu Dicuba
RESEPI SINGGANG IKAN TONGKOL
Bahan-bahan:
- Seekor ikan tongkol (saya menggunakan bahagian kepala dan dua potongan isi)
- Bendi secukupnya
- Cili merah atau hijau (belah tengah)
- Bawang merah (dihiris)
- Bawang putih (dihiris)
- Lengkuas (dihiris)
- 1-2 keping asam keping
- Garam secukup rasa
- Air secukupnya (ikut banyak kuah yang diinginkan)
Cara memasak:
- Masukkan semua bahan yang dihiris (bawang, bawang putih, lengkuas) bersama cili dan air ke dalam periuk.
- Didihkan kuah sehingga naik aroma dan kuah mendidih perlahan (mendidih manja).
- Masukkan ikan tongkol dan perasakan dengan garam secukupnya.
- Biarkan ikan masak dan isinya menjadi lembut.
- Masukkan asam keping dan kacau perlahan.
- Akhir sekali, masukkan bendi. Apabila bendi mula lembik, tutup api.
Sumber: Mizah Ngatiman
Baca juga: Resipi Ikan Terubuk Masin Goreng Bawang, Bau Pun Dah Buat Perut Berkeroncong!