Setelah membeli daun sup atau daun ketumbar, pasti mengecewakan bila ia cepat layu. Sebenarnya, terdapat metode penyimpanan daun sup dan daun ketumbar yang boleh anda praktikkan di rumah.
Mana-mana yang gemar memasak di rumah pasti biasa membeli daun sup atau daun ketumbar dalam kuantiti banyak untuk berjimat. Namun, penting untuk mengetahui cara penyimpanan yang tepat.
Nana Aziz telah berkongsi cara menyimpan daun sup dan daun ketumbar di Facebook yang sangat berguna dan praktikal untuk sesiapa yang suka membeli banyak dari pasar.
Baca juga: Cara Simpan Daun Masakan Agar Tahan Berbulan, Tetap Hijau & Segar Seperti Baru Petik!
CARA MENYIMPAN DAUN SUP DAN DAUN KETUMBAR
1. Pertama, basuh dengan bersih.
Sebaik sahaja sampai di rumah, segera bersihkan semua daun yang telah dibeli. Cucilah sehingga semua kotoran, pasir dan sisa tanah tidak ada lagi.
2. Setelah itu, racik halus.
Setelah dibersihkan, daun-daun tersebut dipotong halus, sama seperti cara kita untuk taburkan ke dalam sup atau dalam sambal.
3. Kemudian, masukkan ke dalam bekas bertutup.
Setelah selesai meracik, simpan ke dalam bekas yang boleh ditutup seperti tupperware. Tidak perlu terlalu padat, cukup hanya untuk satu sesi memasak.
4. Seterusnya, tuangkan air.
Ini adalah petua yang paling penting, anda perlu tuangkan air hingga menenggelamkan daun yang telah diracik dalam bekas tersebut. Air ini akan membantu mengekalkan kesegaran dan warna daun.
5. Akhir sekali, bekukan dalam peti sejuk:
Simpan bekas tersebut dalam bahagian sejuk beku (freezer). Daun yang dibekukan dengan air ini akan kekal segar dan tidak kecut walaupun disimpan untuk masa yang agak lama.
CARA GUNA SEMULA SEMASA MEMASAK
Setiap kali ingin menggunakan, tidak perlu menunggu ia mencair. Ambil sahaja seketul ais daun sup dari bekas tersebut dan terus masukkan ke dalam masakan seperti sup, bubur, lauk berkuah atau sambal. Apabila ais mencair, daun akan kelihatan seakan-akan baru diracik.
Semoga ini bermanfaat!
Sumber: Nana Aziz
Baca juga: Cara Simpan Barli Rebus Agar Tahan Lama, Boleh Membuat Air Barli Untuk Mengawal Kolesterol