Jika anda gemar menikmati mi atau sup, semestinya perlu ada sekurang-kurangnya satu balang lada jeruk di dapur. Rasa pedas, masam dan masinnya dapat menjadikan hidangan biasa luar biasa! Ingin tahu cara untuk membuat lada jeruk yang dapat bertahan lama dan sedap? Sebenarnya, ia sangat mudah, tidak memerlukan bahan yang rumit.
Lada jeruk ini bukan sahaja sesuai dihidangkan dengan mi sup, tetapi juga boleh dijadikan sos pencicah atau hiasan untuk nasi goreng, bihun, atau pelbagai jenis masakan berkuah. Yang paling penting, jika mengikuti langkah yang betul, ia boleh bertahan berbulan-bulan di dalam peti sejuk.
Dengan membuat sendiri, kita dapat mengawal rasa dan tahap kepedasan mengikut citarasa masing-masing. Jimat pula, tidak perlu membelinya selalu! Dalam artikel ini, kami akan berkongsi resipi ringkas serta langkah demi langkah yang mudah diikuti oleh sesiapa sahaja, pasti menjadi!
Baca juga: Resipi Jeruk Nanas Gaya Orang Pantai Timur, Makan Dingin Boleh Buat Ketagih!
CARA MEMBUAT LADA JERUK YANG TAHAN HINGGA 6 BULAN
Bahan-bahan:
- Cili hijau (jika inginkan lebih pedas, boleh campurkan cili api hijau)
- Air panas secukupnya
- 1/2 cawan cuka
- 1 sudu garam
- 2 sudu gula
- Botol kaca atau bekas plastik untuk penyimpanan cili
Langkah-langkah penyediaan:
- Basuh cili hijau sehingga bersih, kemudian hiris nipis atau mengikut saiz yang diingini.
- Masukkan hirisan cili ke dalam mangkuk.
- Tuangkan air panas sehingga merendam cili, biarkan selama 2 hingga 3 minit. Tujuannya adalah untuk menghilangkan bau ‘maung’ dan membunuh bakteria.
- Tapis dan toskan cili, kemudian ketepikan.
- Dalam mangkuk lain, larutkan gula dan garam dalam air panas. Kacau hingga betul-betul larut.
- Tambah cuka ke dalam larutan tadi, kacau rata.
- Susun cili yang telah ditos ke dalam botol kaca atau bekas plastik yang bersih.
- Tuangkan larutan ke dalam botol hingga cili terendam sepenuhnya.
- Tutup rapat dan simpan di dalam peti sejuk.
Info: Cili jeruk ini boleh bertahan sehingga 6 bulan jika disimpan dengan baik.
Sumber: Zanariah Mohamed Zain
Baca juga: Cara Buat Jeruk Pauh Yang Rangup Kruk Krak, Sekali Makan Jadi Ketagih!