Menjelang bulan Ramadan yang akan datang, banyak persiapan perlu dilakukan terutamanya bagi tujuan memasak. Jadi, inilah masanya untuk mempelajari resepi pes tomyam homemade.
Pes adalah campuran pekat yang dihasilkan daripada rempah-ratus, bawang, cili dan bahan lain yang dikisar halus. Dengan pes yang sudah ditumis, proses memasak menjadi lebih cepat.
Walaupun terdapat pelbagai pes segera di pasaran, namun anda tentu akan lebih berpuas hati menyediakannya sendiri di rumah. Terutama sekali, ia dijamin asli hasil tangan sendiri.
Menurut perkongsian Amirah di Lemon8, resepi pes tomyam homemade ini sangat mudah disiapkan dan boleh digunakan pada bila-bila masa. Mari kita cuba!
Baca juga: Cara Buat Pes Asam Jawa Dengan 2 Bahan, Senang Tak Perlu Buang Biji Lagi
RESEPI PES TOMYAM HOMEMADE
Bahan-bahan:
- 2 biji bawang besar
- 4 biji cili merah
- 10 biji cili kering
- 2 inci lengkuas
- 4 batang serai
- 2 sudu udang kering
- 6 helai daun limau purut
- 2 inci belacan (dibakar)
- Air asam jawa, gula dan garam
Cara-cara membuat:
1. Pertama sekali, kisar semua bahan kecuali asam jawa, garam dan gula dengan sedikit air.
2. Selepas itu, panaskan sedikit minyak dan tumis bahan yang telah dikisar sehingga mengeluarkan aroma.
3. Kemudian, masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
4. Seterusnya, masak sehingga pecah minyak dan menjadi pes pekat.
5. Akhir sekali, biarkan sejuk dan simpan dalam peti sejuk.

Kredit Gambar: stockking dari Freepik
Bukan sekadar untuk memasak tomyam, tetapi pes tomyam homemade ini juga boleh membantu anda dalam menyediakan pelbagai hidangan enak di rumah.
Contohnya, anda boleh memanfaatkan pes ini untuk menghasilkan bihun goreng tomyam yang lazat. Selain itu, anda juga boleh menggunakannya untuk membuat nasi goreng tomyam dan mee tomyam.
Di samping resepi pes tomyam homemade yang telah kami kongsikan, terdapat banyak lagi resipi menarik. Pilih sahaja untuk membuat pes yang di gemari dan nikmati hidangan sepuas-puasnya.
Selamat mencuba!
Kredit gambar muka depan: Amirah dari Lemon8, stockking dari Freepik
Sumber: Amirah
Baca juga: Resepi Rempah Kari Homemade, Boleh Simpan Dalam Bekas Siap-Siap!