Jika buntu untuk menyiapkan hidangan minum petang, mari cuba resepi cekodok jagung yang mudah tetapi lazat. Cekodok jagung ini mempunyai rasa lemak manis, berkrim dan aroma harum dengan wewangian jagung segar.
Cara penyediaannya juga sangat ringkas. Adunannya mengembang cantik tanpa perlu menggunakan air panas! Teksturnya garing di lapisan luar dan lembut di bahagian dalam, pasti memuaskan ketika dinikmati dalam keadaan panas.
Anak-anak pasti menyukainya kerana rasa tidak terlalu berat dan manis. Sangat sesuai dijadikan sajian untuk waktu santai bersama keluarga.
Baca juga: Cekodok Pisang Kembong Tanpa Serbuk Penaik, Rasa Sedap Walaupun Sejuk
RESEPI CEKODOK JAGUNG LEMAK MANIS
Bahan-bahan:
- 1/2 kg tepung gandum
- 1 tin jagung manis
- 2 sudu makan susu pekat
- 1 sudu makan butter atau mentega
- 5 sudu makan gula pasir
- 1 sudu makan mauripan
- Air secukupnya
Cara-cara:
- Gabungkan semua bahan kering ke dalam satu bekas; tepung gandum, gula pasir, dan mauripan. Gaul hingga sebati.
- Masukkan bahan basah seperti jagung manis, susu pekat, dan mentega. Gaul sebati.
- Tambah air perlahan-lahan sambil dikacau hingga adunan cekodok tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
- Jika adunan kurang manis, boleh tambahkan sedikit gula dan kacau hingga sebati.
- Perap adunan selama lebih kurang setengah jam. Bekas tidak perlu ditutupi, tetapi jika ingin menutup pun boleh.
- Setelah diperap, adunan akan naik dan mengembang.
- Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana.
- Jemputkan adunan dengan hujung jari dan masukkan perlahan-lahan ke dalam minyak panas.
- Goreng sehingga cekodok mengembang dan bertukar keperangan. Balik-balikkan agar masak sekata.
- Angkat cekodok yang sudah masak dan ulang proses ini sehingga semua adunan habis.
Sumber: Suraya Yaacob
Baca juga: Sedapnya Cekodok Labu, Ikuti Resipi Ini Agar Tidak Serap Minyak & Lembut Hingga Malam