Bagi anda penggemar laksa, resipi Laksa Siam ini pastinya wajib dicuba di rumah. Kuahnya bukan sahaja pekat, tetapi mempunyai citarasa yang luar biasa dan enak dinikmati bersama pelbagai ulam segar.
Untuk memastikan kuahnya cantik dan melekat baik pada laksa, anda boleh menggunakan sukatan yang dikongsikan oleh Ben Safwan di Facebook ini:
- 1kg ikan = 3 liter cecair (air + santan)
Di samping itu, beliau juga berkongsi resipi Laksa Siam yang tampak sungguh menggoda. Ringkasnya, satu suapan sahaja mampu membuatkan anda sekeluarga terliur untuk makan di rumah.
Baca juga: Cara Membuat Laksa Sarawak Pekat, Harum & Berlemak, Pasti Hirup Hingga Licin!
RESIPI LAKSA SIAM
Bahan-bahan:
- Laksa beras (jenama Nayati)
- 1kg ikan kembung
Bahan kisar untuk kuah (kisar halus dengan air):
- 3 ½ biji bawang merah (sedikit lebih besar dari bola pingpong)
- 4 ulas bawang putih kecil
- 3 batang akar ketumbar
- 3 batang serai kecil
- 2 inci belacan bakar
- 2 ketul kunyit hidup (lebih kurang 15 gram)
- 5 biji cili hijau besar
- 3 biji cili merah besar
- 4 hingga 5 biji cili Thai
Bahan untuk kuah:
- 1 liter santan pekat
- Bahan kisar
- Isi ikan (kisar kasar)
- 2 liter air
- 2 helai daun limau purut
- 4 hingga 5 tangkai daun kesum
- 2 hirisan lengkuas (diketuk)
- 2 batang bunga kantan kecil (belah dua)
- ¾ keping gula Melaka (boleh guna gula putih sebagai pengganti)
- 2 keping asam keping
- 3 sudu besar cili kisar
Cara rebus ikan:
1. Siang dan kelar ikan kembung, kemudian rebus dengan 1 inci lengkuas (diketuk), 1 sudu besar cuka, 1 sudu besar gula merah, dan ½ sudu besar garam tanpa air.
2. Biarkan ikan mengeluarkan air sendiri ketika direbus dengan api kecil dan tutup periuk.
Elakkan membiarkan terlalu lama, takut hangus nanti.
3. Setelah itu, asingkan isi dan tulang. Buang tulang, hanya isi digunakan untuk kuah.
Cara memasak kuah:
1. Campurkan semua bahan ke dalam periuk bersama air dan santan.
2. Didihkan dengan api sederhana sambil mengacau perlahan-lahan.
3. Apabila mendidih, kecilkan api.
4. Masukkan 5 hingga 6 sudu teh garam (atau secukup rasa) dan ½ sudu besar serbuk perasa (pilihan).
5. Reneh selama 20 hingga 30 minit agar perisa sebati dan kuah menjadi lebih sedap.
6. Setelah cukup reneh, matikan api dan keluarkan daun limau, daun kesum, bunga kantan, asam keping dan lengkuas.
Selamat mencuba!
Sumber: Ben Safwan
Baca juga: Resepi Laksam Kelantan Original, Ini Rahsia Kuah Menarik & Berlemak Cukup Rasa