Untuk mencipta kulit karipap rangup sehingga ke petang, sebenarnya ia bukanlah sukar sangat, tetapi perlu mengetahui cara dan ukuran yang betul. Rahasia ini terletak bukan sahaja pada resipi, tetapi juga pada teknik dan waktu rehat doh yang sesuai.
Resipi yang dikongsi oleh Che Kelly ini menggunakan ukuran minyak, jenis tepung dan air kapur yang tepat supaya doh menjadi lembut, mudah dibentuk dan hasil akhirnya tetap rangup walaupun sudah lama digoreng.
Baca juga: Rahsia Telur Rebus Licin Sempurna, Ikuti Petua Ini Barulah Mudah Untuk Dikupas!
RAHSIA KULIT KARIPAP RANGUP SAMPAI KE PETANG
1. Ukuran Minyak & Marjerin
Bagi setiap 1 kg tepung, gunakan 1 cawan minyak masak dan 2 sudu makan marjerin. Panaskan minyak dan marjerin sehingga betul-betul panas, kemudian curahkan ke atas tepung. Hati-hati, minyak sangat panas, jadi gaul dahulu dengan sudu sebelum menggunakan tangan.
2. Jenis Tepung
Gunakan tepung gandum jenama Sauh sahaja untuk hasil yang lebih rangup.
3. Air Kapur
Ini merupakan rahsia kulit karipap rangup sehingga petang dengan menggunakan air kapur. Ambil air rendaman kapur yang bersih dan untuk setiap 1 kg tepung, masukkan 2 sudu makan air kapur.
CARA MENGULI DOH
Campurkan tepung bersama minyak panas dan marjerin tadi. Kemudian masukkan air biasa dan air kapur, uli hingga semuanya sebati. Tak perlu risau jika doh tidak licin, yang penting bahan sudah bercampur dengan baik.
Setelah selesai uli, masukkan doh ke dalam plastik untuk mengelak daripada terkena udara. Rehatkan selama 4 jam sebelum digunakan. Cara ini akan menjadikan doh lebih lembut dan sedikit berminyak. Itulah rahsia kulit karipap yang tetap rangup hingga ke petang.
Sumber: Zyureena Ahmad
Baca juga: Rahsia Ulam Ulaman Celur Tak Lebam, Warna Tetap Hijau & Kekal Menawan