Rahsia sambal nasi lemak yang lazat bukan hanya bergantung kepada jenis cili kering yang digunakan, tetapi juga teknik penyediaannya. Ramai yang mengeluh sambal cepat rosak, walaupun baru sehari dibuat.
Sebenarnya, terdapat beberapa metode mudah yang boleh diikuti agar sambal nasi lemak boleh bertahan lama, 4 hingga 5 hari pun masih elok walaupun tanpa disimpan dalam peti sejuk.
Di sini adalah panduan lengkap dan resipi sambal nasi lemak istimewa yang dapat anda cuba di rumah.
Baca juga: Jenis Beras Yang Enak Untuk Buat Nasi Lemak, Pilih Dengan Bijak Baru Puas Hati!
RAHSIA SAMBAL NASI LEMAK TAHAN LAMA & TIDAK MUDAH ROSAK
1. Pilih Bawang Merah Besar India
Pilih bawang merah besar India kerana ia mempunyai rasa yang lebih manis berbanding bawang besar holland (kulit perang). Kisar dengan sedikit air untuk mengelakkan ia menjadi terlalu cair.
Tip: Pisahkan bahan kisar bawang daripada bahan kisar cili kering.
2. Kaedah Betul Menyediakan Cili Kering
- Gunting cili kering, buang bijinya.
- Rebus dalam air mendidih hingga lembut.
- Toskan, bilas dan toskan sekali lagi.
- Kisar dengan minyak sahaja, jangan gunakan air.
Metode ini memudahkan cili dimasak dengan cepat dan garing serta masak sepenuhnya apabila ditumis dalam sambal.
3. Masak Lama dengan Api Kecil
Untuk mendapatkan sambal yang cantik berkilau, sabar untuk memasak dalam waktu yang lama.
- Untuk 5-10 orang: renih dengan api kecil selama 1 jam 30 minit hingga 2 jam.
- Untuk kuantiti besar (80-150 orang): masak selama 4 hingga 6 jam dengan api kecil.
Ingat, jangan kedekut minyak semasa menumis. Minyak berfungsi untuk memasak sambal hingga cukup masak. Minyak lebihan boleh dibuang kemudian dan digunakan semula untuk menggoreng mihun, telur atau sambal lain.
4. Gunakan Gula Melaka Kerek
Jauhi gula putih. Sebaiknya gunakan gula melaka kerek (atau “nise” bagi orang Kelantan/Terengganu). Selain memberikan rasa manis yang seimbang, ia juga menjadikan warna sambal merah berkilau dan lebih menarik.
5. Tambah Bahan Mengikut Selera
Sesetengah peniaga suka menambah daun pandan, serai atau halia sebagai ciri khas sambal mereka. Anda boleh cuba mengikut selera masing-masing.
Resipi Sambal Nasi Lemak Tahan Lama
Bahan-bahan (5-8 orang):
- 3 biji bawang merah besar India
- 3 ulas bawang putih
- 1 genggam ikan bilis (dibersihkan)
- 18-20 tangkai cili kering gemuk (direbus & dikisar dengan minyak)
- 2/3 biji gula melaka
- ½ sudu besar asam jawa + 2 sudu besar air
- Minyak masak secukupnya
- Sekadar garam / serbuk perasa
- Sekadar air (jika perlu)
Langkah-langkah:
- Kisar bawang merah bersama bawang putih dengan sedikit air, kemudian ketepikan.
- Kisar ikan bilis sehingga halus, kemudian ketepikan.
- Kisar cili kering yang direbus menggunakan minyak, elakkan daripada menggunakan air.
- Panaskan minyak dalam kuali (gunakan lebih banyak minyak berbanding biasa). Tumis bahan kisar bawang hingga pecah minyak dan masak dengan baik. Setelah aroma manis terbit, masukkan kisaran ikan bilis dan masak lagi hingga minyak keluar.
- Masukkan cili kisar. Teruskan memasak hingga sambal pecah minyak beberapa kali. Proses ini penting agar sambal lebih tahan lama.
- Tambahkan gula melaka dan pes asam jawa. Biarkan sambal mereneh dengan api kecil selama lebih kurang 1 jam 30 minit hingga 2 jam.
- Di akhir proses, masukkan garam dan serbuk perasa. Sesuaikan rasa mengikut cita rasa peribadi. Jika ingin aroma pandan, boleh tambahkan simpulan daun pandan di akhir masakan (elakkan dari memasukkan awal kerana baunya akan mendominasi sambal).
Kelengkapan: Minyak berlebihan setelah sambal masak boleh disimpan dan digunakan semula. Minyak ini sangat enak digunakan untuk menggoreng mihun, telur atau sambal lain.
Kenapa Sambal Ini Tahan 4-5 Hari?
- Sambal dimasak dengan lama sehingga benar-benar masak dan pecah minyak.
- Air digunakan dalam jumlah yang sangat minimum semasa mengisar dan memasak.
- Minyak berfungsi sebagai pengawet semula jadi yang menjaga sambal daripada cepat rosak.
Hasilnya, sambal bukan sahaja tahan lebih lama, malahan lebih sedap dengan campuran rasa pedas cili, manis bawang, manis gula melaka dan sedikit masam dari asam jawa.
Bermula dari Ogos hingga September, MyResipi menganjurkan kempen Makan Sini Best untuk menonjolkan nasi lemak terbaik di sekitar Lembah Klang. Pilihan masyarakat, bukan hanya pengkritik.
Calonkan dan undi nasi lemak kesukaan anda di www.myresipi.com/makansinibest dan lihat siapa yang akan dinobatkan sebagai juara nasi lemak pilihan masyarakat.
Jangan lupa untuk menghadiri acara kemuncak pada 25 September 2025 dan jadilah antara 100 pengunjung terawal yang berpeluang menikmati nasi lemak percuma serta produk tajaan eksklusif!
Sumber: Facebook
Baca juga: Resipi Nasi Lemak Tanpa Santan, Gantikan Dengan Susu Cair & Minyak Masak Pun Enak!