Resipi paru sambal ini pasti akan menggugah selera anda! Dengan paru yang digoreng renyah dan sambal yang pedas, hidangan ini pasti sangat sesuai bagi para pencinta makanan bersambal.
Langkah pertama, paru direbus hingga lembut, lalu digoreng sehingga garing. Selepas itu, paru yang garing dicampurkan dengan sambal pedas yang seimbang antara rasa manis dan masin.
Bagi anda yang ingin mencuba, mari lihat resipi lengkap yang dikongsikan oleh Puan Syalfarina Razali di bawah dan rasai kelezatannya sendiri!
Baca juga: Resipi Ikan Cencaru Bakar Cicah Dengan Air Asam, Pasti Sedap Menyengat!
RESEP PARU SAMBAL
Bahan-bahan:
- Paru (yang sudah dibersihkan)
- Bawang merah
- Bawang holland
- Bawang putih
- Serai
- Halia
- Cili kisar
- Gula melaka (pilihan)
- Asam jawa
- Garam dan perasa secukupnya
- Minyak untuk menggoreng dan menumis
Cara memasak:
- Cuci paru dengan teliti, kemudian rebus paru sehingga lembut. Kira-kira 1 jam.
- Setelah paru direbus, potong nipis. Perapkan hirisan paru dengan kunyit dan garam. Gorengkan paru dalam minyak panas hingga permukaannya sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
- Kisar bawang merah, bawang holland, dan bawang putih hingga halus.
- Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar bersama serai dan halia hingga harum dan warnanya berubah menjadi coklat keemasan. Pastikan bawang tidak berair.
- Masukkan cili kisar ke dalam kuali. Tumis hingga pecah minyak.
- Tambahkan sedikit air ke dalam sambal. Biarkan sambal masak sehingga warnanya menjadi merah gelap. Jika suka, boleh tambahkan sedikit gula melaka untuk rasa manis semula jadi.
- Masukkan hirisan bawang holland ke dalam sambal. Biarkan sambal merenih selama 40 minit agar rasa lebih sebati.
- Ambil sedikit asam jawa, ramas dengan air dan masukkan ke dalam sambal. Perasakan dengan garam dan perasa secukupnya.
- Setelah sambal masak, masukkan paru yang telah digoreng. Renehkan paru bersama sambal selama 10 minit. Kemudian, tutup api.
Sumber resipi dan gambar: Syalfarina Razali
Baca juga: Resipi Mi Rebus Utara Kuah Pekat, Buat Banyak Kali Pun Tak Rasa Jemu!