Ketika membahas mengenai kuih warisan, pastinya resepi Ketayap Polkadot menjadi pilihan utama. Selain lembut, reka bentuk kulitnya yang bercorak polkadot jelas menarik perhatian.
Kuih Ketayap atau dikenali sebagai kuih gulung merupakan salah satu kuih tradisional berinti yang sangat digemari di Malaysia. Jika anda menjumpai gerai tepi jalan, kemungkinan besar kuih ini tersenarai dalam menu.
Ia biasanya dihasilkan dalam bentuk silinder yang memaparkan gulungan kulit nipis terbuat dari adunan tepung yang diisi dengan kelapa parut serta gula kabung dan diwarnakan hijau.
Dari masa ke masa, kuih Ketayap telah dicipta dengan lebih inovatif. Oleh itu, terhasilnya resepi Ketayap Polkadot yang dikongsi oleh Hidayati Hana di Facebook. Ayuh kita cuba!
Baca juga: Resepi Kuih Ropa Berinti Sedap, Guna Sukatan Ini Pasti Rangupnya Menjadi!
RESEPI KETAYAP POLKADOT
Bahan-bahan bagi kulit:
- 2 cawan tepung gandum
- 2 cawan air
- 1 biji telur
- ½ sudu teh garam
- Pewarna merah dan biru
Bahan-bahan untuk inti:
- ½ biji kelapa parut
- ½ ketul gula kabung
- 3 sudu besar gula pasir
- ½ cawan air
- 2 helai daun pandan
- 1 sudu besar tepung gandum (tambahan)
Langkah-langkah membuat:
1. Pertama sekali, kisar tepung, air, telur dan garam sehingga halus.
2. Setelah itu, tapiskan adunan tersebut.
3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian (sebaiknya lebihkan satu bahagian untuk menggoreng kulit ketayap).
4. Seterusnya, tambahkan pewarna merah dan biru (gunakan sedikit air untuk mendapatkan warna pastel).
5. Panaskan kuali non-stick dan titiskan warna biru terlebih dahulu (gunakan botol muncung 1). Setelah titik (dot) mulai kering, tuangkan satu senduk adunan berwarna merah.
6. Ulang proses ini sehingga adunan habis.
7. Setelah itu, sediakan inti. Masukkan air, daun pandan dan gula ke dalam periuk.
8. Masak sehingga gula larut.
9. Selepas itu, tambahkan kelapa dan gaul sehingga sebati.
10. Apabila hampir masak, masukkan tepung gandum.
11. Kacau hingga adunan sebati, kemudian tutup api.
12. Setelah masak, tunggu inti sejuk sebelum menggulung kuih ketayap. Siap untuk dinikmati!
Resepi Ketayap Polkadot ini tentu akan menarik minat anda untuk mencubanya. Dengan penampilannya yang comel, ia mampu menarik selera anak-anak untuk menikmati hidangan ini.
Selamat mencuba!
Sumber: Hidayati Hana
Baca juga: Resepi Kuih Ketayap Simple Tanpa Pewarna, Lembut Dan Wangi Hasilnya