Bagi anda yang sedang mencari inspirasi untuk hidangan teh petang, boleh mencuba resipi Kek Gula Hangus yang dibakar ini. Walaupun tidak perlu direndam terlebih dahulu, hasilnya tetap berongga dengan cantik.
Ada yang menggelar Kek Gula Hangus sebagai kek sarang semut, disebabkan bentuknya yang berlubang-lubang seperti sarang semut yang sangat menarik dan enak dimakan.
Norfaezawati Wahid telah berkongsi cara untuk membuat Kek Gula Hangus bakar di Facebook dengan langkah yang begitu mudah tanpa marinat dan hasilnya tetap berongga. Jom kita cuba!
Baca juga: Kek Pisang Karamel Yang Sempurna, Gunakan Resipi Ini Pasti Berjaya!
RESIPI KEK GULA HANGUS BAKAR
Bahan-bahan untuk karamel:
- 2 cawan gula pasir
- 3 sudu besar mentega atau butter
- 2 cawan air panas
Bahan-bahan untuk ayakan:
- 2 cawan tepung gandum
- 2 sudu kecil soda bikarbonat
- 1 sudu kecil baking powder
Bahan-bahan untuk di-blend:
- 7 biji telur gred B (6 biji telur gred A)
- 2 sudu kecil esen vanilla
- 1 cawan susu pekat (¾ cawan untuk kurang manis)
Cara-cara untuk membuat:
1. Pertama sekali, masak gula dengan api perlahan sehingga menjadi karamel dan semua gula larut (keluar buih).
2. Masukkan air panas sedikit demi sedikit. Tambah sedikit, kacau. Tambah sedikit, kacau. Lakukan sehingga habis, untuk mengelak daripada percik. Ketepikan.
3. Tambahkan mentega. Kacau sehingga cair. Biarkan suam.
4. Ayak tepung gandum, soda bikarbonat, dan baking powder dalam bekas yang besar.
5. Blend telur, esen vanilla, dan susu pekat sehingga sebati.
6. Tuang bahan yang diblend ke dalam bekas tepung yang telah disediakan. Kacau hingga sebati.
7. Angkat periuk yang mengandungi gula hangus, tuang ke dalam adunan tepung. Dalam keadaan panas pun boleh, hanya perlu berhati-hati. Kacau rata.
8. Bagi loyang berukuran 7 x 7 x 3 inci. Sapu bahagian dalam loyang dengan mentega. Letakkan penapis di atas loyang. Tuang dan tapis adunan tersebut.
9. Panaskan oven dahulu pada suhu 170ºC dengan api bawah sahaja. Setelah 10 minit, masukkan loyang adunan. Bakar dalam sekitar 45 hingga 50 minit (suhu dan masa membakar bergantung kepada oven masing-masing).
10. Setelah masa mencukupi dan kek sudah masak, bolehlah dikeluarkan. Jika belum masak setelah 50 minit (bahagian atas masih lembik), bertukarlah kepada api atas, dan bakar lagi sekitar 5 minit atau sehingga adunan masak.
11. Akhir sekali, potong kek secara melintang uratnya. Siap untuk dinikmati!
Jika tidak memiliki oven untuk membuat Kek Gula Hangus bakar, anda boleh menggunakan pengukus dan kukus selama 50 minit hingga kek masak.
Selamat mencuba!
Sumber: Norfaezawati Wahid
Baca juga: Kek Sarang Semut Kukus, Sesuai Untuk Sarapan Atau Teh Petang