Resipi ayam madu versi berkuah ini sangat mudah untuk dicuba oleh sesiapa sahaja. Hidangan ini juga amat sesuai dipadankan dengan nasi kuning. Namun, dinikmati bersama nasi putih biasa pun tetap sedap!
Rasa kuah madunya hampir menyerupai hidangan di restoran mamak, namun secara keseluruhan, ia mengingatkan kita kepada ayam masak merah. Boleh dikatakan resipi ini adalah gabungan cita rasa masakan mamak dan Melayu.
Jika ada yang ingin mencuba, jom lihat resipi yang dikongsikan oleh Puan Noor Baizura di bawah untuk mengetahui bahan-bahan yang diperlukan serta cara penyediaannya.
Baca juga: Resipi Ayam Bakar Paling Simple Tapi Padu, Guna 3 Bahan Saja Untuk Perap!
RESIPI AYAM MADU
Bahan A (kisar):
- 3 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 2 genggam cili kering (rebus dan tos terlebih dahulu)
- Sekeping halia
Bahan B (tumis):
- 3 sudu besar minyak masak
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
- 1 tangkai daun kari
- 2 helai daun pandan (simpul)
Bahan C (lain-lain):
- 4 sudu makan serbuk cili Babas
- 1 cawan sos cili
- Garam & ajinomoto (secukup rasa)
- Gula (anggaran 700g sebagai ganti madu)
- 2 ekor ayam (potong & goreng separuh masak)
- Bijan (untuk tabur semasa hidang)
Cara-cara:
- Kisar bahan A (bawang besar, bawang putih, cili kering dan halia) hingga halus. Ketepikan.
- Tumis bahan B (kulit kayu manis, bunga lawang, daun kari dan daun pandan) dalam minyak panas sehingga mengeluarkan aroma dan wangi.
- Masukkan bahan kisar ke dalam tumisan. Masak hingga bahan menjadi agak kering.
- Tambah 4 sudu makan serbuk cili. Kacau rata dan masak sehingga pecah minyak.
- Masukkan 1 cawan sos cili, garam, ajinomoto dan gula (anggaran 700g, bergantung pada tahap kemanisan yang diingini).
- Biarkan kuah mendidih dan menjadi pekat.
- Masukkan ayam yang telah digoreng separuh masak. Gaul rata dan biarkan ayam meresap kuah dalam api sederhana hingga pekat.
- Setelah masak, tutup api dan taburkan bijan sebelum dihidangkan.
Sumber: Noor Baizura
Baca juga: Resipi Sup Ayam Tomato Ini Lain Dari Biasa, Rasa Lebih Umami & Segar Bila Dihirup!