Resipi ayam masak lemak rempah ini berbeza dari yang biasa kerana ramuan-ramuannya mengandungi jintan manis, jintan putih dan ketumbar. Sekiranya ditanya tentang rasa, hidangan ini kaya dengan citarasa rempah ratus dan santan.
Menu ini amat sesuai untuk dinikmati bersama nasi yang masih panas. Kombinasi protein dari ayam dan sayuran seperti kentang, lobak merah, dan terung menjadikan sajian ini seimbang dan memikat selera.
Di samping itu, untuk menambah keistimewaan rasa, anda bolehlah menambah daun kunyit yang telah dihiris halus sebelum mematikan api.
Baca lagi: Perapan Ayam Penyet Paling Mudah Dan Sedap, Resipi Ini Pasti Berjaya!
RESIPI AYAM MASAK LEMAK REMPAH
Ramuan yang perlu dikisar:
- 3 biji bawang merah kecil
- 3 ulas bawang putih
- Halia sebesar ibu jari
- Kunyit sebesar ibu jari
- 3 tangkai cili merah (boleh menambah cili api untuk rasa lebih pedas)
- 1 sudu besar ketumbar
- 1 sudu kecil jintan manis
- 1 sudu kecil jintan putih
Ramuan lain:
- 2 batang serai (diketuk)
- 500g ayam (potong sederhana)
- 2 biji kentang (potong baji)
- 1 batang lobak merah (potong serong)
- 1 biji terung (goreng separuh masak)
- 400ml santan
- 2 sudu besar kerisik
- Garam secukup rasa
- 1 sudu kecil gula
- Air secukupnya
- (Pilihan) Sedikit serbuk pati ayam untuk menyerlahkan rasa
Langkah-langkah:
1. Kisar semua bahan hingga halus. Pastikan semua rempah hancur dengan baik untuk rasa yang menyeluruh.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumiskan bahan kisar bersama serai sehingga pecah minyak dan harum baunya.
3. Masukkan ayam ke dalam kuali dan gaul rata bersama rempah. Tambahkan sedikit air untuk memudahkan proses memasak ayam. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
4. Tutup kuali dengan penutup (atau “ungkepkan” seperti yang biasa diperkatakan) dan biarkan ayam dimasak dengan api sederhana sehingga air ayam keluar dan daging menjadi lembut.
5. Bila ayam hampir masak, masukkan kentang dan lobak merah. Tambah air lagi jika perlu untuk memastikan sayuran masak dengan sempurna.
6. Setelah kentang dan lobak merah hampir empuk, masukkan santan ke dalam kuali. Kacau perlahan-lahan untuk mengelakkan santan pecah. Setelah mendidih, masukkan kerisik supaya rasa lebih pekat dan lemak.
7. Kemudian, masukkan terung yang telah digoreng ke dalam masakan. Gaul rata dan biarkan seketika supaya semua bahan bercampur dengan baik.
8. Tutup api dan sajikan masak lemak rempah ini bersama nasi putih yang panas.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Izzuana Izhar
Baca lagi: Perapan Ayam Penyet Paling Mudah Dan Sedap, Resipi Ini Pasti Berjaya!