Peti ais berfungsi sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis bahan makanan seperti lauk mentah, sisa makanan, sayuran, buah-buahan dan lain-lain.
Apabila pelbagai makanan disimpan dalam satu ruang yang tertutup, bau tidak menyenangkan boleh timbul, terutamanya jika terdapat makanan yang sudah rosak atau tumpahan yang tidak segera dibersihkan.
Namun, jangan risau, anda tidak perlu menggunakan pewangi mahal yang khusus untuk mengatasi bau ‘tidak sedap’ itu.
Hakikatnya, terdapat beberapa bahan dapur yang boleh dijadikan pewangi semula jadi untuk peti sejuk. Ia mudah, menjimatkan, dan tentunya selamat digunakan.
Jom baca artikel ini dengan lebih mendalam untuk mengetahui bahan dapur yang efektif dalam mengatasi bau dalam peti sejuk anda.
Baca juga: Petua Daun Kari Tahan Lama & Wangi Seperti Baru Dipetik, Ini Cara Simpan Dalam Peti Sejuk
CARA MENGHILANGKAN BAU PETI AIS DENGAN 3 BAHAN DAPUR INI
1. Baking Soda
Baking soda terkenal dengan kemampuannya menyerap bau. Letakkan satu mangkuk kecil berisi baking soda dalam peti sejuk.
Ia dapat menyerap semua bau kuat termasuk dari durian, ikan atau lauk berkuah. Gantikan baking soda setiap 2 minggu untuk kesan yang lebih efektif.
Tip tambahan: Simpan dalam bekas terbuka atau tebuk beberapa lubang kecil pada penutup bekas supaya udara dapat bergerak bebas.
2. Serbuk Kopi
Kopi bukan sahaja nikmat untuk diminum, tetapi juga sangat efektif dalam menyerap bau. Letakkan serbuk kopi atau lebihan hampas kopi yang sudah kering dalam bekas kecil yang tidak ditutup.
Aroma kopi tidak hanya menghilangkan bau busuk, tetapi juga memberikan haruman segar setiap kali peti sejuk dibuka.
Tip: Gunakan serbuk kopi yang belum digunakan jika mahu aroma yang lebih kuat.
3. Kulit Limau atau Lemon
Jangan buang kulit limau, lemon atau oren selepas menikmati buahnya! Kulit buah sitrus ini kaya dengan minyak aromatik yang harum dan menyegarkan.
Letakkan beberapa kulit dalam mangkuk kecil dan simpan di sudut peti sejuk. Ia bukan sahaja dapat menghilangkan bau busuk, tetapi juga memberikan aroma segar dan menyenangkan.
Tip: Anda juga boleh mencampurkan sedikit cuka atau baking soda dengan kulit ini untuk kesan yang lebih berkesan.
Petua tambahan:
- Sentiasa bersihkan tumpahan atau makanan yang bocor.
- Elakkan menyimpan makanan yang terbuka terlalu lama.
- Susun makanan dengan teratur dan gunakan bekas bertutup.
Baca juga: Cara Memilih Petai yang Tidak Busuk & Segar, Gunakan Tip Ini Ketika Membeli!