Resipi bubur cha cha ini kaya dengan perisa lemak manis santan, serta dihimpunkan dengan pelbagai ramuan seperti keledek, keladi, jagung dan sagu.
Gabungan tekstur yang pelbagai dan warna ceria bahan-bahan di dalamnya menjadikan pencuci mulut ini amat disukai ramai.
Jika anda ingin mencuba memasaknya sendiri di rumah, ikuti langkah mudah di bawah. Bubur ini bukan sahaja enak, malah kuahnya akan menjadi lebih pekat setelah sejuk!
Baca juga: Resipi Bubur Candil Pelangi Dengan Kuah Santan Lemak Manis, Kenyal Ketika Gigit!
RESEPI BUBUR CHA CHA
Bahan-bahan:
- ⅓ cawan sagu
- 1 cawan tepung cha cha
- ½ cawan keledek
- ½ cawan keladi
- 1 ketul (50 g) gula melaka (saiz kecil)
- ⅓ cawan (80 g) gula pasir
- 2 helai daun pandan
- 5 cawan (1.25 L) santan sederhana pekat
- ½ cawan isi jagung
- ½ sdt garam halus
Cara penyediaan:
- Didihkan air dalam periuk dan rebus sagu selama 10 minit. Angkat, tapis dan bilas di bawah air paip untuk menghilangkan kanji.
- Dalam air mendidih yang baru, rebus tepung cha cha selama 5 minit atau sehingga separuh masak. Tapis dan bilas dengan air paip.
- Rebus keledek dan keladi dalam air mendidih selama 5-7 minit hingga empuk. Angkat dan ketepikan.
- Dalam periuk berasingan, masukkan gula melaka, gula pasir, daun pandan dan santan. Masak dengan api sederhana hingga gula larut dan santan mula mendidih. Kacau selalu agar santan tidak pecah minyak.
- Masukkan sagu, tepung cha cha, keledek, keladi, isi jagung dan garam ke dalam kuah santan. Masak seketika sehingga semua ramuan empuk dan kuah meresap.
Tip tambahan:
- Bubur cha cha ini lebih sedap jika dinikmati setelah sejuk sedikit, kerana kuahnya akan menjadi lebih pekat.
- Jika mahu, boleh juga menambah hirisan pisang atau labu sebagai variasi.
Sumber: Noor Ashikin Saerah
Baca juga: Resipi Bubur Candil Guna Tepung Pulut, Sesuai Untuk Minum Petang