Siapa yang pernah menggoreng ikan keli pasti pernah mengalami situasi di mana tubuh ikan tersebut menjadi bengkok. Ramai yang tidak menyedari, terdapat petua untuk menggoreng ikan keli agar lurus dan tidak bengkok.
Ikan keli adalah sejenis ikan air tawar yang sangat terkenal di Malaysia serta beberapa negara di Asia Tenggara. Antara masakan yang boleh dihasilkan termasuk masak lemak cili api, berlada, percik, bakar, dan tempoyak.
Jika anda gemar memasak ikan keli tetapi sering kecewa dengan hasil gorengan yang tidak begitu menarik, ikutilah petua mendapatkan ikan keli yang lurus seperti yang dikongsikan oleh Ayue Jalal di Facebook ini.
Baca juga: Cara Buang Hanyir Ikan Patin Dengan Petua Paling Berkesan, Bau Lumpur Pun Hilang Tanpa Jejak!
PETUA GORENG IKAN KELI LURUS & TAK BENGKOK
1. Pilih saiz ikan keli yang sederhana.
Bukan sahaja lebih mudah untuk digoreng, malah ikan keli dengan saiz sederhana memberikan rasa rangup saat dinikmati. Kadang-kadang, saiz lebih besar lebih liat dan mudah patah semasa digoreng.
2. Rahsia untuk elak melekat dan minyak meletup.
Sebelum memasukkan ikan, goreng 2 hingga 3 keping asam keping dalam minyak panas terlebih dahulu. Cara ini membantu mengurangkan letupan minyak dan mengelakkan ikan melekat antara satu sama lain.
3. Lumurkan dengan tepung jagung.
Gaulkan ikan dengan garam, serbuk kunyit, dan tepung jagung. Ini kerana tepung jagung memberi tekstur rangup pada ikan keli.
4. Guna kuali besar dan minyak yang banyak.
Pastikan minyak cukup panas dan jangan sesekali memasukkan terlalu banyak ikan keli dalam satu kuali. Cukup letakkan 4 hingga 5 ekor, kemudian susun dengan rapi.
5. Jika ikan melekat, gunakan gunting dapur.
Jika terdapat ikan yang melekat, jangan tarik terus kerana ia akan merosakkan isi. Gunakan gunting dapur untuk memisahkannya secara lembut agar hasilnya cantik.
ANTARA PUNCA IKAN KELI JADI BENGKOK SELEPAS DIGORENG
- Ikan keli masih separuh beku.
- Guna kuali yang terlalu kecil.
- Minyak belum cukup panas.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Ayue Jalal
Baca juga: Wanita Ini Kongsi Tips Buang Lendir Ikan Keli Dengan Cepat, Goreng Pun Tak Meletup!