Apakah anda sedang mencari resipi tepung goreng cempedak yang memberi hasil cempedak goreng yang rangup, bersarang dan tidak lembik?
Kami mempersembahkan resipi yang patut diujicuba! Tidak perlu menggunakan telur, tidak memerlukan air kapur, tetapi hasilnya tetap garing krup krap dan enak walaupun sudah sejuk.
Resipi ini sangat ringkas dan menggunakan bahan asas yang pasti ada di dapur. Ia boleh digunakan untuk cempedak, pisang atau keledek juga.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan resipi tepung goreng cempedak beserta dengan petua bancuhan dan cara menggoreng supaya hasilnya tidak menyerap minyak dan tidak mudah lembik.
Baca juga: Panduan Membuat Donut Pintal Lembut, Hasil Menakjubkan & Mengembang Sempurna Selepas Digoreng!
RESEPI TEPUNG GORENG CEMPEDAK RANGUP KRIUK KRIUK
Bahan-bahan:
- 1 ½ cawan tepung gandum (disyorkan jenama Bakers Choice)
- 3 sudu makan tepung jagung (gunakan sudu membukit)
- 1 ½ cawan air paip
- Sikit pewarna kuning
- Garam secukup rasa
- 4 sudu makan minyak masak panas
Cara-cara:
- Gabungkan tepung gandum, tepung jagung, air, pewarna kuning dan garam dalam mangkuk.
- Kacau hingga rata dan licin menggunakan whisk untuk mengelakkan ketulan.
- Panaskan minyak, kemudian masukkan 4 sudu minyak panas ke dalam adunan. Kacau segera menggunakan whisk. Elakkan menggunakan tangan kerana minyak masih panas.
Tip penting agar adunan tepung menjadi:
- Gunakan wire whisk supaya adunan halus dan tiada ketulan.
- Tekstur adunan harus cair. Apabila celup jari dan angkat, adunan jatuh dengan cepat.
- Jika adunan lambat jatuh, itu menunjukkan ia terlalu pekat. Hasil gorengan nanti akan kelihatan seperti cekodok cempedak.
- Selepas memasukkan minyak panas, terus kacau. Jangan biarkan lama.
CARA MENGGORENG CEMPEDAK SUPAYA RANGUP DAN BERSARANG
Cara-caranya:
- Gunakan kuali berbentuk melengkung supaya cempedak tenggelam sepenuhnya dalam minyak dan dapat terapung semasa menggoreng. Kuali leper tidak sesuai kecuali menggunakan minyak dalam kuantiti yang banyak.
- Pastikan minyak cukup panas. Hampir berasap, tetapi jangan sampai berasap penuh. Jika terlalu panas, cempedak akan cepat hangus.
- Uji minyak dengan menitis sedikit bancuhan tepung. Jika berdesir dan terus timbul, minyak sudah cukup panas dan adunan cukup ringan. Jika tenggelam dan lambat timbul, mungkin minyak belum cukup panas atau bancuhan terlalu pekat.
- Elakkan memasukkan terlalu banyak cempedak sekaligus. Ini boleh menurunkan suhu minyak dan menghasilkan gorengan yang tidak rangup.
- Apabila cempedak sudah terapung, leraikan dan balikkan dengan lembut. Jangan terlalu awal dibalikkan. Tepung mungkin belum melekat dan boleh terlucut.
- Apabila sudah kekuningan dan rangup, angkat dan toskan minyak menggunakan penapis. Elakkan terus letak atas tisu kerana ini boleh menyebabkan cempedak menjadi lembik.
Sumber: Sakura Hanami
Baca juga: Resipi Cekodok Durian, Aroma Harum Ketika Goreng Buat Tak Sabar Nak Ngap!