Apabila anda pencinta masakan tradisional, kami syorkan anda mencuba resipi Udang Masak Lemak Tempoyak Cili Api yang sangat terkenal di Negeri Sembilan dan Pahang.
Perpaduan rasa pedas dari cili api, lemak dari santan, serta masam istimewa dari tempoyak menjadikan hidangan ini amat menggoda, terutamanya apabila dinikmati dengan nasi yang panas.
Resipi Udang Masak Lemak Tempoyak Cili Api ini telah dikongsi oleh Nana Ismail di Facebook yang telah membuat ramai terliur melihatnya. Jom kita cuba!
Baca juga: Cara Bersihkan Udang Supaya Tetap Segar & Tidak Lembik, Bau Hanyir Pun Hilang!
RESIPI UDANG MASAK LEMAK TEMPOYAK CILI API
Bahan-bahan:
- ½ kg udang segar
- 7 ulas bawang putih
- 2 biji bawang kecil
- 1 tangkai cili masak
- Cili hijau atau cili api (bergantung pada tahap kepedasan yang diingini)
- ½ cawan santan (boleh ditambah jika mahu kuah lebih pekat)
- 3 sudu makan tempoyak
- 1 keping asam keping
- 1 batang serai (diketuk)
- Daun kunyit (dihiris kasar)
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- Gula dan garam secukup rasa
Cara-cara memasak:
1. Pertama sekali, kisar dengan kasar bawang kecil, bawang putih, cili masak dan cili hijau atau api. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama sedikit air.
2. Tambahkan juga serai yang telah diketuk, asam keping, dan serbuk kunyit. Biarkan campuran ini mendidih di atas api sederhana.
3. Setelah kuah mendidih, masukkan udang bersama gula, garam, tempoyak, dan santan. Kacau hingga rata dan pastikan udang masak sepenuhnya.
4. Setelah udang masak dan kuah hampir pekat, masukkan hirisan daun kunyit. Biarkan ia reneh seketika hingga naik aroma dan kuah menjadi pekat berlemak.
Setelah selesai, anda boleh terus sajikan Udang Masak Lemak Tempoyak Cili Api bersama nasi putih panas. Untuk lebih enak, nikmati dengan sambal belacan dan ulam-ulaman.
Selamat mencuba!
Sumber: Nana Ismail
Baca juga: Udang Sotong Masak Paprik Ala Kedai Tomyam, Kuah Pekat Sampai Licin Tak Tinggal Setitik!