Sambal goreng garing ikan bilis ini benar-benar menjadi pelengkap luar biasa apabila disantap bersama hidangan seperti telur itik masak lemak cili api.
Walaupun tampak sederhana, sambal ini mampu membangkitkan nostalgia dan merangsang selera. Sambal goreng ini sangat serbaguna dan sedap dinikmati dengan lempeng, cucur, atau sebagai sapuan pada roti juga!
Resepi ini diwarisi daripada ibu Cik Puan Syalfarina Razali, yang sememangnya pakar dalam menghasilkan sambal goreng yang garing dan sempurna. Walaupun beliau dapat memasaknya sendiri, tetap tidak dapat menyamai keenakan sentuhan ibu.
Jom semak resep lengkap yang dikongsikan di bawah ini.
Baca lagi: Cara Buat Kerepek Peria Yang Rangup, Memuaskan Tika Dimakan Sebab Tak Pahit Langsung!
RESIPI SAMBAL GORENG GARING IKAN BILIS
Bahan-bahan
- Ikan bilis yang cukup (digoreng hingga garing)
- 4 biji bawang merah kecil
- 2 biji bawang merah sederhana besar
- 6 biji bawang putih
- 2 senduk besar cili kisar
- Garam secukup rasa
- Sedikit gula
Cara Penyediaan
1. Mulakan dengan menggoreng ikan bilis hingga ia garing dan berwarna kuning keemasan.
2. Kemudian angkat dan toskan. Pastikan anda menyimpan minyak gorengan ini kerana ia akan digunakan untuk menumis sambal nanti.
3. Tumbuk bawang merah dan bawang putih hingga halus. Anda boleh menggunakan lesung batu atau pengisar untuk mempercepatkan proses.
4. Menggunakan minyak gorengan ikan bilis, tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi hingga bawang layu dan mengeluarkan aroma wangi.
5. Apabila bawang mulai berwarna kuning, masukkan dua senduk besar cili kisar. Pada tahap ini, anda boleh menggunakan api besar untuk mempercepat proses, namun pastikan cili tidak hangus.
6. Setelah cili mula pecah minyak, perlahan sedikit api. Biarkan sambal terus dimasak pada api sederhana hingga ia sepenuhnya pecah minyak.
7. Pada tahap ini, tambahkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Anda boleh merasainya dahulu dan sesuaikan mengikut citarasa. Biarkan sambal dimasak hingga warnanya menjadi gelap dan teksturnya mulai berderai.
8. Teruskan menggoreng sambal hingga ia benar-benar garing dan berderai. Sambal yang garing ini akan memberikan tekstur dan rasa yang unik apabila dicampurkan dengan ikan bilis nanti.
9. Setelah sambal siap, matikan api dan biarkan ia sedikit sejuk. Kemudian, masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi dan gaulkan hingga rata.
Selamat mencuba!
Sumber: Syalfarina Razali
Baca lagi: Talam Keladi Berlauk Udang Bersama 2 Jenis Sos, Kuih ‘Savoury’ Yang Rasa Istimewa!