Jika anda pecinta hidangan Timur Tengah, pasti sudah mendengar mengenai Nasi Arab Kabsah Ayam. Juadah ini tidak hanya kaya dengan rempah, bahkan aroma serta rasanya mampu mengundang nostalgia.
Resipi nasi kabsah ini amat sesuai untuk disediakan ketika menerima tetamu, majlis kecil-kecilan, atau apabila anda berkeinginan untuk merasai variasi dari hidangan harian. Mari kita cuba memasaknya sendiri di rumah. Memang berbaloi, sedap hingga menjilat jari!
Baca juga: Resipi Nasi Arab Mandy Ayam, Pasti Sedap Setanding Dengan Yang Ada Di Kedai!
RESEPI REMPAH KABSAH HOMEMADE
Bahan-bahan:
- 1 sudu besar lada hitam*
- 2 sudu besar biji ketumbar*
- 1 sudu besar jintan manis*
- 6 biji pelaga*
- ½ sudu besar cengkih*
- 1 sudu besar serbuk cili
- ½ sudu besar serbuk kunyit
Cara penyediaan:
- Sangai semua bahan bertanda * sehingga mengeluarkan aroma.
- Kisar halus dengan menggunakan pengisar kering.
- Tambahkan serbuk cili dan serbuk kunyit, kemudian gaul rata.
RESEPI NASI ARAB KABSAH AYAM
Bahan-bahan nasi dan ayam:
- 4 pot beras basmati (rendam selama 20 minit)
- 1 ½ ekor ayam (dipotong besar)
- 3 sekawan (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga)
- 6-7 ulas bawang putih (dipotong kasar)
- 1 biji bawang holland (didadu)
- 2 biji cili besar hijau
- 1 pokok ketumbar
- 2 sudu besar tomato puri
- 2 sudu besar rempah kabsah (boleh dibeli siap atau buat sendiri menggunakan resipi di atas)
- 6 pot air (gunakan ukuran pot beras, nisbah beras:air, 1:1.5)
- 1 kiub pati ayam
- Garam secukup rasa
- Secubit saffron
- Biji gajus (boleh ditambah badam dan kismis jika suka)
- Minyak masak/minyak zaitun untuk menumis
- 3 sudu besar minyak sapi
Cara memasak ayam:
- Panaskan minyak masak dan 1 sudu besar minyak sapi.
- Tumis 3 sekawan bersama bawang putih hingga sedikit keemasan.
- Tambahkan bawang holland, cili hijau, daun ketumbar, rempah kabsah dan sedikit air.
- Masukkan ayam dan biarkan seketika untuk mematikan air ayam.
- Tambah baki air, garam dan kiub pati ayam, kemudian rebus sehingga ayam masak sepenuhnya. Angkat ayam dan ketepikan.
Ada 2 cara untuk memasak nasi:
- Masak di atas dapur: Setelah ayam dikeluarkan, masukkan beras, gajus, badam, kismis dan secubit saffron ke dalam periuk yang sama. Tanak nasi dengan api sederhana. Jangan tutup periuk. Apabila nasi hampir kering, susun semula ayam di atas nasi, perlahankan api dan tutup periuk. Masak selama 15 minit lagi. Setelah selesai, buka penutup periuk. Jika banyak asap keluar, itu tandanya nasi sudah masak dengan sempurna. Tutup api dan keluarkan ayam. Sapukan lebihan minyak sapi di atas nasi dan kaup nasi dengan lembut.
- Memasak menggunakan periuk nasi elektrik atau periuk tekanan: Alihkan kuah ayam ke dalam periuk nasi atau periuk tekanan. Tambahkan beras, gajus, badam, kismis dan sedikit saffron. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi hampir kering, aturkan semula ayam di atas nasi dan teruskan memasak hingga masak sepenuhnya. Angkat ayam, oleskan lebihan minyak sapi di atas nasi dan kaup nasi dengan lembut.
RESEPI SALAD ARAB, PELENGKAP NASI ARAB KABSAH
Bahan-bahan:
- 1 biji timun Jepun (dipotong dadu)
- 2 biji tomato masak (dipotong dadu)
- 1 biji cili merah (dihiris halus)
- ½ pokok ketumbar (dipotong kasar)
- ½ labu bawang holland (dipotong dadu)
- 2 sudu besar jus lemon
- 2 sudu besar minyak zaitun
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
Cara membuatnya:
- Gaulkan semua bahan bertanda * hingga rata.
- Perasakan dengan garam dan gula, gaul sebati.
RESEPI SOS HARRAH
Bahan-bahan:
- 1 biji cili besar merah
- 4 biji cili padi (ikut kesedapan masing-masing)
- 2 biji tomato masak
- ½ pokok ketumbar
- 1 ulas bawang putih
- Air (secukup untuk menyalurkan mesin pengisar)
- 1 sudu besar jus lemon
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
Cara membuatnya:
- Kisar semua bahan bertanda * hingga halus, tetapi jangan terlalu halus.
- Perasakan dengan jus lemon, garam dan gula mengikut kehendak.
Sumber: Ismi Yatie Ummu Haziq
Baca juga: Resipi Nasi Arab yang Paling Mudah, Gunakan Bahan yang Ada di Rumah Sahaja