Apabila ditanya mengenai kuih yang mudah dan sedap di nikmati, pastinya apam menjadi pilihan yang paling utama. Yang paling menarik, terdapat resepi Apam Cheese kukus yang sangat mudah untuk disediakan.
Apam adalah sejenis kuih tradisional yang boleh dihasilkan dalam pelbagai perisa dan antara yang paling popular adalah Apam Cheese.
Walaupun kelihatan seperti kuih biasa, tetapi Apam Cheese selalu mendapat permintaan yang tinggi di media sosial, khususnya sebagai sajian untuk jamuan atau potluck.
Hasil resepi Apam Cheese kukus yang dikongsikan oleh Zura Zul di Facebook terlihat begitu gebu dan menarik perhatian ramai. Mari kita cuba buat!
Baca juga: Resepi Apam Kampung Mudah Dengan 5 Bahan, Hasilnya Sangat Lembut!
RESEPI APAM CHEESE KUKUS
Bahan-bahan:
- 2 cawan tepung halus
- 2 biji telur gred A atau B
- ¾ cawan gula kastor (jika ingin lebih manis, boleh ditambah)
- 1 sudu kecil ovallete
- 1 cawan susu cair
- 2 keping cheddar cheese
- 1 sudu besar esen vanilla
Cara-cara membuat:
1. Pertama sekali, panaskan susu cair dan cheddar cheese dengan api sederhana sehingga cheese larut, kemudian biarkan sejuk.
2. Seterusnya, campurkan gula, telur, ovallete dan esen vanilla hingga adunan menjadi putih dan gebu, kemudian tuangkan susu cair dan cheese tadi, dan campurkan seketika.
3. Setelah itu, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul sehingga semua bahan sebati.
4. Sediakan acuan lompang kecil dan masukkan paper cup, kemudian sudukan adunan hingga cup penuh (saya menggunakan piping bag).
5. Akhirnya, pastikan air kukusan mendidih dan kukus selama 10 hingga 15 minit dengan api sederhana. Siap!
Tidak sukar untuk menyediakan hidangan untuk sarapan atau minum petang, bolehlah kreasikan resepi Apam Cheese kukus ini di rumah. Ia bukan sahaja memerlukan bahan yang sedikit, malah prosesnya juga cepat.
Hasilnya yang gebu dan lembut ketika dimakan membuatkan sesiapa sahaja berasa gembira menikmatinya. Jika anda membuatnya untuk keluarga di rumah, pastinya mereka akan memuji kesedapannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Zura Zul
Baca juga: Apam Dewa Gebu Gebas, Untuk Corak Cantik Gunakan Teknik Ini Sebelum Mengukus