Kek Pisang boleh disediakan dengan cara dibakar atau dikukus. Jika anda belum pernah mencuba membuat kek dengan periuk nasi, kami menggalakkan anda mencuba resepi Kek Pisang yang mudah ini.
Ramai yang menyukai Kek Pisang kerana teksturnya yang halus serta rasa pisang yang enak, menjadikannya pilihan minum petang yang sempurna bersama keluarga tercinta.
Dengan resepi Kek Pisang mudah oleh Maziah Nur Wafa Wafa di Facebook ini, anda akan memperoleh hasil yang memuaskan walaupun menggunakan periuk nasi. Mari kita cuba!
Baca juga: Wanita Ini Tunjukkan Cara Membuat Kek Jantung Pisang Tanpa Oven, Boleh Guna Kuali Sahaja!
RESEPI KEK PISANG SIMPLE GUNA PERIUK NASI
Bahan-bahan:
- 2 cawan tepung gandum cap bunga ros
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
- 3 biji telur gred B
- ¾ cawan gula
- 1 cawan minyak masak
- 1 sudu susu pekat manis
- Pisang
- Choco rice
Cara-cara membuat:
1. Pertama sekali, ayak tepung gandum bersama soda bikarbonat dan ketepikan sekejap.
2. Selepas itu, kisar telur, gula, minyak masak, dan susu pekat manis.
3. Potong pisang lebih kecil daripada setengah inci dan sukat untuk 1 cawan.
4. Menggunakan bekas lain, lenyekkan pisang yang telah dipotong.
5. Tuang adunan kisaran tadi dan gaul rata.
6. Masukkan adunan tepung yang telah diayak dan kacau hingga sebati.
7. Seterusnya, sapu minyak pada loyang, tuang adunan, dan taburkan choco rice. Siap untuk dibakar atau dikukus!
*Bakar: ikut oven masing-masing, perlu serasi dengan suhu dan cara anda membakarnya.
*Kukus: lebih kurang 45 minit ke atas, tetapi bergantung juga pada kuantiti dan saiz periuk nasi anda.
Cara kukus kek pisang guna periuk nasi:
- Masukkan air ke dalam periuk nasi, panaskan selama 5 minit, kemudian barulah letakkan loyang.
Cara bakar kek pisang guna periuk nasi:
- Letakkan pelapik besi yang rendah di dalam periuk nasi, panaskan selama 5 minit, kemudian letakkan loyang.
Sewaktu menyediakan resepi Kek Pisang simple ini di rumah, anda perlu menggunakan loyang yang lebih kecil supaya ia sesuai dengan ukuran periuk nasi.
Memang berbaloi untuk menyiapkan Kek Pisang ini kerana hasilnya sangat lembut dan enak dimakan. Dengan sedikit usaha, mak mentua pun bakal memuji kepandaian anda membuat kek.
Selamat mencuba!
Sumber: Maziah Nur Wafa Wafa
Baca juga: Cara Membuat Kek Pisang Dengan 5 Bahan, Resipi Paling Jimat Dan Mudah Ini!