Jom MyResipi berkongsi cara membuat kuih talam pandan yang lembut, berlemak dan manis dengan rasa yang seimbang. Resipi ini adalah hasil sumbangan dari Puan Rahmah Rosmin.
Dengan mengikuti resipi ini, anda pasti dapat menghasilkan kuih talam yang sempurna untuk selera anda. Ia amat sesuai dijadikan pencuci mulut selepas berbuka puasa.
Baca juga: Cara Mudah Membuat Kuih Badak Berendam, Lembut & Manis Berlemak!
RESEPI KUIH TALAM PANDAN
Lapisan Bawah (Warna Hijau)
Bahan-bahan:
- 1 cawan tepung beras
- 2 sudu besar tepung jagung
- 1 cawan gula (kurangkan sedikit jika mahu)
- 2 cawan santan cair
- 1/2 cawan air pandan (diblend dari 7 helai daun pandan)
- Sedikit garam
- 1 sudu besar air kapur jernih (pilihan)
- Sedikit pewarna hijau epal dan merah
Cara-cara:
- Gabungkan semua bahan untuk lapisan bawah dan tapiskan ke dalam periuk. Masak seketika di atas dapur dengan api perlahan sehingga wap naik. Kacau sentiasa.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang 8 inci yang telah dilapisi plastik dan dioles dengan sedikit minyak.
- Kukus selama 20 minit dengan api sederhana.
- Setelah 20 minit, buka penutup pengukus dan kukus lagi 5 minit dengan menggunakan api tinggi (tanpa penutup pengukus). Kemudian, gores permukaan kuih sedikit.
Lapisan Atas (Warna Putih)
Bahan-bahan:
- 3 cawan santan pekat
- 1 cawan tepung beras
- 2 1/2 sudu besar tepung gandum
- 1 sudu kecil garam (biarkan agak masin sedikit)
Cara-cara:
- Gabungkan semua bahan untuk lapisan atas dan tapiskan ke dalam periuk. Masak seketika dengan api perlahan hingga naik wap. Kacau sentiasa.
- Tuangkan adunan putih di atas lapisan hijau dan kukus selama 20 minit dengan api sederhana.
- Setelah 20 minit, buka penutup pengukus dan kukus lagi 5 minit dengan menggunakan api tinggi (tanpa penutup pengukus).
- Selesai! Biarkan betul-betul sejuk sebelum dipotong menggunakan pisau plastik.
Tips: Untuk memperoleh talam yang cantik, setiap kali mengukus, selepas 7-10 minit, buka penutup pengukus dan lap di bahagian bawah tudung pengukus. Kemudian, tutup semula dan kukus lagi. Ulang langkah ini sehingga siap.
Sumber: Rahmah Rosmin
Baca juga: Resipi Kuih Sagu Yang Sedap & Tidak Lembik, Sukatan Kecil Untuk 2-3 Orang Makan