Pernahkah anda memotong kentang dan terlihat tompok ungu atau hijau di dalamnya? Sebahagian orang beranggapan ia hanya masalah kecil dan masih boleh dimakan, namun sebenarnya tompok ungu dalam kentang ini memiliki makna tertentu.
Menurut kongsian Marn Ali di Facebook, ada yang mendakwa tompok ungu itu menunjukkan kandungan magnesium yang tinggi dan boleh berbahaya jika dimakan, tetapi ini tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh.
Baca juga: Inilah Sebab Perlu Berhati-Hati Makan Jeruk Mangga, Ada Gula Jadi ‘Racun’ Senyap Dalam Badan
PUNCA SEBENAR TOMPOK UNGU DALAM KENTANG
Sebenarnya, tompok ungu dalam kentang sering kali terjadi akibat lebam atau kerosakan dalaman semasa proses penuaian, pengangkutan atau penyimpanan.
Apabila sel-sel kentang tercedera, reaksi oksidasi berlaku dan menghasilkan perubahan warna, kadang kala menjadi ungu, merah atau kecoklatan. Dalam beberapa situasi, pigmen semula jadi dalam kentang itu sendiri mungkin menyebabkan warna ini muncul.
ADAKAH KENTANG INI MASIH SELAMAT UNTUK DIMAKAN?
Jawapannya adalah YA dengan syarat tompok tersebut kecil, tidak berbau aneh dan kentang masih keras seperti biasa. Hanya perlu memotong bahagian yang lebam dan bahagian yang lain boleh dimasak seperti biasa.
Namun, jika tompok ungu itu semakin membesar, kentang tersebut menjadi lembik atau berbau busuk, adalah lebih baik untuk membuangnya kerana itu adalah tanda ia telah rosak.
APA YANG PATUT KITA RISAUKAN TENTANG KENTANG?
Yang paling berbahaya adalah kentang yang berubah hijau atau telah bertunas panjang.
Warna hijau menunjukkan adanya solanin, sejenis bahan kimia semula jadi yang boleh menyebabkan keracunan jika diambil dalam kuantiti berlebihan. Gejalanya termasuk loya, muntah, sakit perut dan cirit-birit.
Semoga ini bermanfaat!
Kredit gambar muka depan: Facebook Marn Ali, freepik dari Freepik
Sumber: Marn Ali
Baca juga: 3 Peta Minda Masakan Ayam, Daging & Ikan, Sesuai Untuk Idea Lauk Seharian!