Jika anda ialah anak peneroka Felda, pastinya anda pernah menikmati Bingka Kelapa Sawit yang sangat sedap. Sebenarnya, proses penyediaan kuih ikonik ini memang sangat mudah dan ringkas.
Kelapa sawit merupakan tanaman yang amat popular di Malaysia. Ia bukan sahaja digunakan untuk menghasilkan minyak sawit, malah sebahagian daripada hasilnya dimanfaatkan dalam pembuatan kuih seperti Bingka Kelapa Sawit.
Bingka Kelapa Sawit adalah antara kuih tradisional yang memiliki rasa lezat manis dan aroma harum disebabkan proses memasaknya menggunakan kelapa sawit yang telah direbus hingga lembut.
Jika anda belum pernah mencuba kuih klasik ini, tentu anda ingin tahu bagaimana rasanya. Oleh itu, ia tidak rugi untuk merasanya sekali seumur hidup kerana kelezatannya akan sentiasa di ingatan.
Jadi, kami ingin mengajak anda untuk membuatnya di rumah dengan mengikuti resipi yang telah dikongsi oleh Jamilah Yusuff Qaisaranajib di Facebook. Mari kita masak!
Baca juga: Resepi Bingka Ubi Kayu, Ini Caranya Untuk Dapatkan Kerak Luar Yang Sedap!
RESIPI BINGKA KELAPA SAWIT
Bahan-bahan:
- 7 cawan pati sawit
- 10 cawan tepung gandum
- 10 biji telur gred c (jika menggunakan gred A, hanya perlu 8 biji)
- 4½ cawan gula pasir (tambahkan jika mahu lebih manis)
- 2000ml santan kotak
- 3 sudu kecil garam
- Bijan (untuk hiasan jika mahu)
Cara-cara menyediakannya:
1. Pertama sekali, rebus kelapa sawit sehingga lembut kemudian biarkan sejuk sedikit.
2. Setelah agak suam, pisahkan dari biji dan kisar dengan sedikit air. Kemudian, perah dan ambil pati yang dihasilkan.
3. Campurkan tepung gandum, telur, gula, santan kotak, garam bersama pati sawit yang telah disediakan dan kisar sehingga rata.
4. Masukkan adunan ke dalam loyang dan taburkan bijan jika ingin.
5. Akhir sekali, bakar mengikut suhu oven masing-masing sehingga masak. Setelah sejuk, potong dan sedia untuk dinikmati!
Bingka Kelapa Sawit sangat sedap dinikmati ketika masih panas. Dahulu, kuih ini sering disajikan sebagai minuman petang yang enak.
Lebih-lebih lagi apabila menikmati bahagian kerak yang rangup di sekelilingnya, ia benar-benar mencipta selera dan rasa lemak manisnya mampu membangkitkan kenangan nostalgia.
Selamat mencuba!
Sumber: Jamilah Yusuff Qaisaranajib
Baca juga: Resepi Kuih Bingka Pandan Tanpa Pewarna, Rasa Pandan Yang Sangat Asli