Jika anda sedang mencari resipi kuih getas lembut yang mudah dan pasti berjaya, resipi ini sememangnya perlu dicuba.
Kuih tradisional ini merupakan salah satu yang disukai ramai disebabkan rasa lemak manisnya, rangup di bahagian luar, lembut dan kenyal di dalam.
Rahsia kepada kelembutan kuih ini ada pada campuran nasi yang dikisar halus bersama adunan tepung. Kelapa parut pula menambahkan rasa lemak serta aroma yang menggoda.
Kuih getas ini sedap dinikmati begitu sahaja, tambahan pula jika dihidangkan sebagai snek waktu petang. Dengan lapisan gula yang manis dan rangup, kelezatannya pasti meningkat!
Baca juga: Resipi Kuih Kering ‘Legend’ Rangup & Manis, Kudapan Mudah Yang Membuat Terkenang Zaman Kecil
RESEPI KUIH GETAS LEMBUT
Bahan-bahan:
- 500 gram tepung pulut (1 pek)
- 3 sudu makan tepung gandum
- 1 cawan nasi sejuk (dikisar halus)
- 1 biji kelapa parut
- Sedikit garam
- Gula untuk sira
- Air secukupnya
Cara penyediaan:
- Gabungkan tepung pulut, tepung gandum, kelapa parut, nasi yang sejuk yang telah dikisar dan sedikit garam dalam satu bekas yang besar.
- Masukkan air sedikit-sedikit sambil menguli sehingga adunan menjadi lembut dan tidak melekat pada tangan.
- Ambil sedikit adunan, bulatkan dan leperkan. Ulang langkah ini sehingga adunan habis.
- Panaskan minyak pada api yang rendah (minyak jangan terlalu panas).
- Goreng kuih getas hingga bertukar warna kekuningan dan masak sekata. Angkat dan tos minyaknya.
Cara sira gula:
- Dalam kuali yang lain, cairkan gula dengan sedikit air sehingga menjadi pekat dan berbuih halus.
- Masukkan kuih yang telah digoreng tadi. Gaul dengan cepat hingga gula menyelaputi kuih dan mula mengeras.
- Angkat dan sejukkan. Kuih getas sedia untuk dinikmati!
Sumber: Hamizah Yatim
Baca juga: Rahsia Buat Kuih Tiram Yang Rangup & Berlapis Cantik, Sebalang Memang Tak Cukup!