Bagi anda yang menggemari kuih tradisional Melayu, pasti pernah mencuba Kuih Kaswi. Jika ingin mendapatkan tekstur lembut, bergedik dan kenyal yang sempurna, resipi Kuih Kaswi ini adalah yang perlu anda coba.
Kuih Kaswi (juga dikenali sebagai kuih kosui) ialah sejenis kuih tradisional Melayu yang dihasilkan daripada gabungan tepung beras, tepung ubi, gula merah atau gula Melaka dan air kapur makan.
Dengan menggunakan resipi Kuih Kaswi yang dikongsikan oleh Zaimah Zakaria di Facebook, anda akan menikmati hasil yang lembut dan bergedik setelah dipotong. Mari kita cuba!
Baca juga: Kaswi Pandan Versi Mudah, Guna Resipi Ini Dapat Hasil Lembut Bergedik
RESIPI KUIH KASWI
Bahan-bahan:
- 2 cawan tepung beras
- 2 sudu besar tepung ubi
- 1 cawan santan pekat
- 2 cawan air*
- 2 cawan gula merah*
- ½ sudu kecil garam
- 2 sudu besar air kapur (jangan terlalu jernih, ambil pekat sikit)
- 3 helai daun pandan
Cara-cara membuat:
1. Pertama, masak gula merah dalam 2 cawan air tersebut dan masukkan daun pandan (saya menggunakan gula merah cap bintang, tidak perlu tapis lagi dan tidak banyak bendasing).
2. Kemudian, biarkan air gula merah sejuk dahulu.
3. Selepas itu, campurkan dengan bahan-bahan lain dan kacau sehingga sebati.
4. Seterusnya, sapu sedikit minyak dalam loyang dan panaskan pengukus lebih awal.
5. Setelah mendidih, masukkan loyang dan kukus kuih selama 45 minit.
6. Setelah sejuk, potong dan gaul dengan kelapa yang dicampur dengan secubit garam. Siap untuk dinikmati!
Resipi Kuih Kaswi ini akan memberikan hasil lembut, kenyal, dan sedikit licin serta mempunyai rasa manis dan lemak yang berasal dari gabungan gula dan kelapa parut. Sekeping pun, rasanya masih tidak cukup.
Selamat mencuba!
Sumber: Zaimah Zakaria
Baca juga: Kaswi Gula Merah Versi Tahan Lama, Kena Buat Cara ‘Ini’ Baru Menjadi!