Pencinta laksa harus mencuba resipi laksa Kedah yang dikongsikan ini kerana ia adalah resipi asli dari Kedah.
Cara memasak telah dikongsikan oleh seorang pengguna platform media sosial Facebook bernama Ahmad Shukri Amiruddin.
Menurut beliau, resipi ini adalah warisan turun temurun dari nenek moyangnya yang masih diamalkan hingga kini.
Tidak hanya itu, beliau juga menyampaikan tips untuk menghasilkan kuah laksa Kedah yang mantap dan pekat.
Baca juga: Asam Laksa Guna Sardin Tin Yang Kaww, Cara Mudah Tak Perlu Siang Ikan!
RESEPI LAKSA KEDAH
Berikut adalah perkongsian lengkap oleh Encik Ahmad Shukri Amiruddin untuk menghasilkan kuah laksa Kedah yang asli, enak dan pekat.
“Petua The original Laksa Kedah. Resepi warisan nenek moyang. Anda perlu masak menggunakan ikan temenung ya, bukan ikan kembung.
Rahsia untuk kuah yang lazat adalah memasak kuah tersebut dengan api perlahan selama 4 jam. Baru semuanya sebati. Dan yang paling utama, bahan-bahan kuah perlu dikisar dengan halus.
Asam keping perlu banyak. Barulah rasa masam asam meresap ke dalam kuah. Tulang ikan perlu dikisar halus dan tapis ke dalam kuah. Air jangan berlebihan, nanti kuah jadi cair.”
Bahan-bahan kuah:
- 2kg ikan temenung (rebus ambil isi, simpan air rebusannya)
- 2 genggam cili kering (rebus buang biji)
- 3 biji bawang besar saiz sederhana
- Belacan saiz ibu jari
- Asam keping – 10 hingga 14 keping (jika tidak mahu masam)
- Garam
- Ajinamoto jika suka
- Daun kesum segenggam
- Bunga kantan (ambil sekali batang, ketuk)
Cara-cara:
- Kisar cili, bawang dan belacan. Tuangkan ke dalam periuk. Kisar juga isi ikan.
- Satukan semua bahan dalam periuk. Isi ikan, cili, daun kesum, garam, ajinamoto, bunga kantan dan asam keping. Tambah air rebusan ikan dan air jika diperlukan (mengikut kepekatan kuah).
- Didihkan. Rasa sedikit biar sesuai dengan citarasa. Jika guna cili lebih, kuah akan jadi merah. Jika tidak mahu pedas, pilih cili yang kurang pedas atau boleh kurangkan cili.
- Semasa memasak kuah ini, perlu selalu kacau agar tidak mendidih terlalu lama.
Bahan-bahan lain:
- Laksa (rebus sampai lembut)
Bahan-bahan hiasan:
- Timun
- Daun selom
- Bawang besar
- Limau nipis
- Cili
- Otak udang
Kredit: ARe Zy, Bulan Indah, Ahmad Shukri Amiruddin
Baca juga: Resipi Laksa Kuah Merah Terengganu, Memang Sedap & Lain Dari Lain!