Anda tidak perlu bersusah payah menyediakan api untuk memanggang kerana anda boleh mengamalkan cara bakar sate menggunakan oven di rumah dengan lebih praktikal.
Sate atau satai merupakan sejenis hidangan yang dibentukkan daripada potongan daging yang dicucuk pada lidi dari kelapa atau buluh dan dibakar menggunakan arang kayu.
Pelbagai variasi sate tersedia sekarang, seperti sate ayam, daging, ikan, dan banyak lagi. Jelas sekali, semuanya lazat.
Apabila anda teringin untuk mencuba masakan sendiri, anda boleh menggunakan cara bakar Sate Ayam oleh Farwin Amellia di Facebook yang dibuat dengan oven di rumah. Jom kita cuba!
Baca juga: Cara Buat Sate Ayam & Daging Guna Air Fryer, Ada Rahsia Hasil Berkilat!
CARA BAKAR SATE AYAM PALING MUDAH GUNA OVEN
Bahan perapan sate untuk 2kg daging ayam:
- 1 sudu jintan manis
- 1 sudu jintan putih
- ½ sudu lada hitam
- 1 sudu ketumbar
- 3 batang serai
- 1 biji bawang besar
- 1 inci halia
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci kunyit hidup
- 1 biji buah keras
Ramuan perasa:
Langkah-langkah penyediaan:
1. Pertama sekali, sangai jintan manis, jintan putih, ketumbar, dan lada hitam terlebih dahulu, kemudian tumbuk halus atau boleh kisar saja.
2. Seterusnya, kisar serai, bawang besar, bawang putih, halia, kunyit hidup, dan buah keras bersama bahan yang telah disangai sebelum ini.
3. Pilih bahagian daging ayam dan potong kecil. Pastikan ukuran sesuai untuk dicucuk pada lidi.
4. Perapkan ayam yang telah dipotong kecil dengan bahan perapan yang telah dikisar tadi.
5. Campurkan perapan ayam dengan perasa secukupnya (saya menambah sedikit madu, gula merah, gula pasir, dan garam. Kuantitinya boleh ditentukan mengikut cita rasa).
6. Kemudian, perapkan ayam di dalam peti sejuk. Semakin lama, semakin baik kerana semua rasa akan meresap ke dalam ayam.
7. Sementara menunggu, rendamkan lidi dalam air (ramai mengatakan rendam selama 1 jam untuk mengelakkan ia patah atau daging melekat).
8. Setelah selesai merap, boleh cucukkan ayam pada lidi.
9. Akhirnya, bakar dalam oven menggunakan suhu sekitar 180ºC dengan api atas bawah selama 20 hingga 25 minit (bergantung kepada oven anda). Siap!
Cara bakar sate menggunakan oven ini sangat sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai pemanggang khas di rumah. Jika ada nasi impit dan kuah kacang, pasti menambah kesedapannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Farwin Amellia
Baca juga: Resepi Kuah Kacang Simple, Sesuai Kalau Nak Cepat Waktu Raya