Sudah pasti banyak yang ingin mengetahui teknik menanam daun kesum dengan mudah, kerana herba ini sering digunakan dalam resepi seperti asam pedas dan laksa. Sekiranya anda mempunyai tanaman ini di rumah, lebih mudah untuk memetiknya bila diperlukan.
Tidak perlu ruang yang luas, kerana pokok kesum ini dapat ditanam dalam balang sahaja. Anda hanya perlu menggunakan keratan batang, menambah air, dan meletakkannya di lokasi yang terang, pokok ini boleh terus hidup dengan subur meskipun dalam ruang yang terhad.
Selain menjimatkan, menanam sendiri daun kesum juga lebih segar dan tanpa racun. Apabila ingin memasak, hanya perlu memetiknya dari balang; memang sangat mudah, praktikal dan pasti berbaloi untuk dicuba di rumah.
Baca juga: 3 Jenis Pokok Kari Di Malaysia, Jangan Sembarangan Petik Nanti Masakan Tak ‘Wangi’!
CARA MENANAM DAUN KESUM DALAM BALANG
Berikut adalah langkah-langkah untuk menanam pokok daun kesum dalam balang:
- Pilih keratan batang yang matang, sehat dan segar dari pokok asal.
- Buang daun di bahagian bawah batang seperti yang ditunjukkan dalam gambar.
- Sediakan botol atau balang lutsinar (daripada kaca atau plastik). Balang lutsinar memudahkan kita memantau jika terdapat jentik-jentik atau lumut. Jika ada, cuci balang dan akar sampai bersih.
- Rendam keratan batang tersebut dalam balang yang berisi air.
- Letakkan balang di kawasan yang menerima cahaya matahari secara tidak langsung. Contohnya, letak di tempat yang terkena cahaya matahari hingga jam 3 petang sahaja.
- Tambah air jika kandungan air berkurangan.
- Selepas sebulan, mulai berikan baja. Gunakan campuran baja AB atau NPK 15.
Tip untuk memastikan pokok daun kesum tumbuh subur dan merimbun:
- Selalu pangkas pokok kesum terutama jika sudah mengeluarkan bunga. Itu adalah petanda tanaman sudah tua.
- Cantas dan tinggalkan hanya sejengkal batang kesum dari pangkal. Jika dibiarkan, pokok akan mengering dan mati.
- Selepas dipangkas, anda boleh melakukan pembajaan.
- Boleh gunakan air basuhan beras, ikan dan sesekali tanam perut ikan di pangkal pokok.
Sumber: Nur Izzah Mahmud
Baca juga: Petua Memilih Daun Limau Purut Yang Tepat, Elak Masakan Jadi Pahit