Bagi penggemar hidangan pedas, rangup, dan penuh rasa, Sambal Ikan Bilis Kentang ini mesti tersenarai. Sekali mencuba, pasti ingin tambah nasi hingga habis pinggan.
Hidangan ini menggabungkan tekstur rangup dari ikan bilis dan kentang yang digoreng. Ditambah dengan cili yang ditumis hingga pecah minyak, aromanya sahaja sudah cukup menggugah selera.
Resipi ini dikongsikan oleh Nuraini Hazirah Zulkefli Parenzas di Facebook, yang sememangnya mahir mengolah rasa dalam hidangan. Mari kita cuba!
Baca juga: Sambal Tempe Kentang Ikan Bilis, Rangup Hingga Tak Berhenti Kunyah
RESIPI SAMBAL IKAN BILIS KENTANG
Bahan-Bahan:
- Segenggam ikan bilis (dibersihkan dan digoreng rangup)
- 3 biji kentang (dipotong nipis atau serupa suka dan digoreng dahulu)
- 1 biji bawang besar*
- 3 ulas bawang putih*
- 10 biji cili merah dan cili hijau* (boleh dicampur atau mengikut tahap kepedasan yang diinginkan)
*Kisar kasar bahan yang ditanda (*).
Cara-Cara Memasak:
1. Panaskan minyak secukupnya, tumis bahan yang telah dikisar kasar (bawang besar, bawang putih, cili merah dan hijau). Tumis sehingga wangi dan pecah minyak.
2. Perasakan dengan garam, gula, dan sedikit serbuk perasa (jika mahu). Seimbangkan rasa sesuai dengan selera masing-masing (ada yang suka lebih manis, ada yang benar-benar pedas).
3. Masukkan ikan bilis yang digoreng dan kentang goreng tadi. Gaul hingga rata dan menyelaputi semua bahan. Siap untuk dihidang!
Sambal ini boleh dinikmati dalam keadaan panas atau disimpan untuk stok lauk beberapa hari. Untuk mengekalkan kesegaran, simpan dalam bekas kedap udara dan masukkan ke dalam peti sejuk. Apabila ingin dinikmati, panaskan semula sahaja.
Selamat mencuba!
Sumber: Nuraini Hazirah Zulkefli Parenzas
Baca juga: Sambal Ikan Bilis Petai, Lauk Paling Jimat Tapi Sedap Seperti Masakan Mak!