Cekodok bukan sahaja mudah untuk disiapkan, malah membawa kenangan zaman kanak-kanak. Lebih-lebih lagi apabila dapat menyediakan resepi Cekodok Pisang yang lazat ini, hasilnya cukup rangup untuk dinikmati.
Cekodok Pisang adalah sejenis kuih tradisional Melayu yang terbuat daripada pisang yang dilenyek dan dicampurkan dengan bahan asas seperti tepung gandum, gula dan sedikit garam, lalu digoreng sehingga keemasan.
Faizah Abdul Rashid telah berkongsi resepi Cekodok Pisang yang sedap di Facebook dengan hasil yang rangup menggunakan bahan-bahan mudah sahaja. Mari kita cuba!
Baca juga: Cekodok Ikan Bilis Simple, Tetap Rangup Di Luar & Lembut Berongga Di Dalam
RESEPI CEKODOK PISANG SEDAP
Bahan-bahan:
- 5 biji pisang bersaiz besar (Jika pisang kecil, gunakan sekitar 8 hingga 10 biji)
- 2 sudu makan marjerin
- 5 sudu makan gula pasir
- 1 sudu teh soda bikarbonat
- 1 sudu teh garam
- 2 cawan tepung gandum
Cara-cara membuat:
1. Kupas dan lenyekkan pisang bersama gula, marjerin, soda bikarbonat dan garam. Kacau sehingga semua bahan sebati.
2. Setelah semuanya bercampur, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit ke dalam adunan. Gaul sehingga menjadi adunan pekat, tidak terlalu cair dan juga tidak terlalu keras.
3. Biarkan adunan berehat selama 10 hingga 15 minit.
4. Panaskan minyak dalam kuali menggunakan api perlahan. Ambil satu sudu adunan dan jemputkan ke dalam minyak panas. Goreng hingga keemasan dan bahagian luar menjadi rangup.
Setelah mencuba resepi Cekodok Pisang ini, anda akan merasai kemanisan pisang, aroma marjerin, ditambah pula dengan bahagian luar yang rangupnya yang sempurna.
Selamat mencuba!
Sumber: Faizah Abdul Rashid
Baca juga: Cekodok Pisang Simple, Bau Wangi Lepas Goreng Terus Teringat Suasana Dapur Nenek!