Piza truffle wagyu merupakan sajian yang menyatukan rasa krimi, asam, manis, dan keju dalam setiap suapan. Ditambah pula dengan cita rasa truffle yang mewah dan bahan-bahan berkualiti tinggi seperti wagyu dan keju premium, hidangan ini pasti menjadi pilihan utama seisi keluarga.
Untuk makluman pembaca, truffle adalah sejenis kulat yang tumbuh di bawah permukaan tanah dan dianggap sebagai makanan paling mahal di dunia kerana ia perlukan perhatian khusus serta waktu yang lama untuk membesar.
Ayuh kita cuba resipi ala T20 ini dengan mencubanya sendiri di rumah!
Baca lagi: Ayuh Buat Donut Susu Minion Ini, Lembut & Gebu Seperti Kapas!
RESIPI PIZA TRUFFLE WAGYU
Bahan-Bahan Doh Pizza:
- Tepung Roti: 500g (boleh menggunakan tepung pau jenama Blue Key).
- Air Suam: 300ml.
- Yis Kering Segera: 2 sudu teh.
- Madu: 2 sudu teh.
- Minyak: 2 sudu teh.
- Garam: 2 sudu teh.
Bahan Topping Pizza:
- Minyak Truffle Putih.
- Pate Truffle Hitam.
- Blok Keju Mozzarella: 200g.
- Campuran 3 Jenis Keju (topping pizza).
- Krim Aioli Truffle (lihat resipi di bawah).
- Hirisan Wagyu (boleh ditukar dengan hirisan ayam atau bahan lain mengikut selera).
Cara Membuat Doh Pizza:
1. Dalam mangkuk, gabungkan air suam, minyak, madu, dan yis kering. Kacau hingga sebati dan biarkan sehingga yis berbuih.
2. Tambahkan tepung dan garam ke dalam campuran yis. Gaul hingga membentuk doh.
3. Sapukan sedikit minyak dalam bekas bersih, masukkan doh, dan tutup menggunakan kain atau penutup. Biarkan selama 30 minit.
4. Tarik dan lipat doh ke semua penjuru, kemudian rehatkan lagi selama 30 minit. Ulang langkah ini sebanyak tiga kali (3 set).
5. Setelah selesai, bahagikan doh kepada tiga bahagian (atau dua untuk saiz pizza besar). Bentukkan doh menjadi bulat dan biarkan ia mengembang dua kali ganda saiz asal.
6. Setelah doh siap, ia boleh digunakan untuk membuat pizza.
Penyediaan Pizza:
1. Panaskan oven pada suhu 230°C selama 10 minit.
2. Bentukkan doh pizza dan tambahkan topping pilihan anda, termasuk minyak truffle, pate truffle hitam, wagyu, dan campuran keju.
3. Masukkan pizza ke dalam oven dan bakar pada suhu 230°C selama 15-17 minit atau sehingga masak.
4. Untuk mendapatkan aroma asap dan truffle yang lebih ketara, gunakan pemanggang api selepas pizza dibakar.
Nota: Waktu pembakaran mungkin berbeza mengikut jenis oven yang digunakan.
Resipi Sos Aioli Truffle Pizza:
Bahan-Bahan:
- Mayonis: 4 sudu besar.
- Keju Krim: 2 sudu besar.
- Bawang putih: 1 ulas (disagat).
- Serbuk lada hitam: ½ sudu teh.
- Garam: ½ sudu teh.
- Minyak truffle putih: 1 sudu besar.
- Pate truffle hitam: 1 sudu besar.
- Jus lemon: 1 sudu besar.
Cara Penyediaan:
1. Gabungkan semua bahan dalam periuk kecil dan kacau hingga sebati.
2. Panaskan di atas api seketika sehingga pekat.
3. Tutup api dan sedia untuk digunakan.
Tip: Sos ini bukan hanya sesuai untuk pizza, tetapi juga enak sebagai pencicah bersama kerepek kentang atau tortilla.
Sumber: Fienaz Shafie
Baca lagi: Telur Masak Tomato Tanpa Bawang, Resipi Pantas Ini Dapat Pikat Selera Keluarga!