Resipi pulut kacau adalah salah satu sajian warisan yang amat disukai, terutamanya bagi pencinta rasa manis dan tekstur lembut namun sedikit kenyal.
Dari perspektif penulis, anda juga boleh menjadikannya sebagai pemberian atau door gift pada majlis untuk para tetamu, kerana ia sangat klasik dan juga istimewa dalam era moden ini.
Dengan resipi yang mudah ini, anda dapat mencuba sendiri di rumah dengan tanpa banyak kesulitan.
Baca lagi: Puding Kastard Sukatan Cawan Yang Simple, Nikmati Dalam Keadaan Sejuk Pasti Menggoda!
RESIPI PULUT KACAU
Bahan-Bahan untuk Pulut
- 2 cawan beras pulut
- 2 cawan air (pastikan menggunakan cawan yang sama untuk mengukur air dan beras)
Cara penyediaan pulut:
1. Cuci bersih beras pulut dan masukkan ke dalam periuk nasi bersama air. Masak seperti biasa memasak nasi.
2. Setelah siap dimasak, keluarkan pulut dan ratakan di atas talam.
3. Biarkan pulut terdedah kepada udara untuk sejuk dan kering.
Nota: Jika anda ingin Pulut Kacau yang rangup, biarkan pulut kering sepenuhnya. Untuk tekstur yang lebih lembut, jangan biarkan terlalu lama kering.
Bahan-bahan untuk air gula:
- 80 g gula batu
- 100 g gula Melaka
- 4 sudu besar gula merah
- 400 ml santan pekat
- 200 ml air
- 1 sudu teh garam
- 1 helai daun pandan (disimpul)
Cara membuat air gula:
1. Dalam kuali, masukkan gula batu, gula Melaka, gula merah, air, garam, dan daun pandan. Masak hingga gula larut sepenuhnya.
2. Tambahkan santan pekat dan kacau sehingga rata.
3. Masak hingga campuran mendidih dan menjadi pekat.
Tip: Ciri-ciri air gula sudah pekat ialah apabila lapisan gula melekat pada senduk.
Cara membuat pulut kacau:
1. Masukkan pulut yang telah dimasak ke dalam kuali bersama air gula. Gunakan api sederhana perlahan.
2. Kacau rata sehingga air gula meresap ke dalam pulut. Teruskan mengacau hingga campuran menjadi pekat dan kelihatan bertali bila ditarik dengan senduk.
3. Ketika pulut masih panas, masukkan ke dalam acuan dan mampatkan menggunakan sudu atau spatula.
4. Biarkan pulut sejuk selama beberapa jam sebelum dipotong atau dikeluarkan dari acuan.
Nota: Semakin kering pulut kacau, semakin lama ia dapat disimpan.
Selamat mencuba!
Sumber: Eny Yusnizar Abdullah
Baca lagi: Resipi Mee Udang Ala Sarawak Menggunakan Mi Segera, Aromanya Memang Menarik Selera!